1.0
Pengenalan
Serangan
Gerila Komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Febuari 1950 telah
memberikan satu publisiti yang meluas dan dikenang hingga ke hari ini sebagai
satu sejarah kepahlawanan anggota polis dalam mengekalkan keamanan dan
keselamatan Negara. Terkorbannya (14) Anggota Polis (3) Polis Bantuan (AP) (4) Pengawal
Kampung (HG) dan (4) ahli keluarga
anggota (2) Isteri dan (2) anak telah diadipatasikan dalam kisah dan semangat
anggota keselamatan dalam mempertahankan balai polis daripada ditawan sehingga terkorban. Sembang cyber antara
penulis dengan penyokong revolusi yang menggunakan nama samaraan Mat Amin
mendedahkan serangan diketuai oleh Komander Goh Peng Sun dari Rajimen ke 4
dengan kekuatan 180 anggota gerila[1]
terjadi selepas (7) bulan (6) hari
kerajaan mengisytharkan darurat. Cerita dari mulut ke mulut ini juga
mengisahkan serangan ini di bantu oleh Mat Indera atau Ahmad bin Indera yang merupakan
pemimpin peringkat negeri Johor Pertubuhan Barisan Tani Malaya (BTM) yang kemudiannya
diharamkan dan seterusnya dikatakan menganggotai Rajimen ke10 Parti Komunis Malaya[2]. Serangan itu juga adalah merupakan antara
beberapa siri serangan terhadap balai-balai polis ketika itu antaranya pada 17/3/1948
mereka menyerang Balai Polis Ulu Coh, Pontian, Johor. Pada 28 Jun 1948 mereka menyerang Balai Polis Kuala Kurau dengan kekuatan (40)
anggota gerila dan pada tarikh yang sama juga
mereka menyerang dan membakar Balai Polis Pekan Jerantut.Pada 9 Julai
1948 mereka menyerang Balai Polis Langkap, Selatan Perak menyebabkan seorang
Polis Constable (PC) terkorban[3].
Pada 17 Julai 1948 dengan kekuatan 300
orang gerila mereka menyerang dan menawan Balai Polus Gua Musang, Kelantan. (1)
anggota terkorban sementara (14) menyerah diri.
Disebalik serangan terhadap balai-balai polis
ini, sebenarnya banyak lagi balai polis yang di serang, namun kisah dan
ceritanya hanya berkisar di kalangan mereka yang terlibat dan rakan-rakan
seangkatan yang kini generasi itu ramai yang telah kembali kerahmatullah.
Ketiadaan kajian yang terperinci mengenai kisah dan tragedi rumah pasong yang diserang pada masa
pemberontakan komunis menyebabkan generasi hari ini khususnya di kalangan warga
kerja PDRM tidak banyak info yang diketahui. Zaman yang penuh dengan
kisah-kisah bagaimana anggota polis berjuang bermati-matian mempertahankan
balai yang mereka jaga, tahun-tahun yang penuh dengan tragedi dan pengorbanan
pasukan keselamatan itu kini semakin dilupai, walaupun disebalik kisah-kisah
tersebut sebenarnya terlalu banyak isu dan … yang boleh dijadikan tauladan dan
pengajaran. tersirat
Peristiwa
Bukit Kepong menjadi sejarah Negara. Kisah serangan Gerila Komunis itu disensasikan dalam pelbagai bentuk dan
penceritaan. Malah tidak keterlaluan jika dinyatakan itulah satu-satunya kisah
sejarah silam tentang tragedi, pengorbanan, kesungguhan serta rasa kebertanggungjawaban terhadap tugas yang
dilaksanakan. Ia juga memperlihatkan tentang bagaimana sekumpulan kecil anggota
menentang jumlah musuh yang lebih besar yang diakhiri dengan sebilangan
besarnya terkorban. Ia juga berkisar tentang kekejaman dan tindak tanduk tidak
berperi kemanusiaan sekumpulan orang terhadap kumpulan yang lain. Dari
anak-anak kecil hingga ke orang dewasa, kisah itu cukup mudah di hafal.
Bagaimanapun bagi generasi yang meniti usia emas khususnya di kalangan
bekas-bekas anggota keselamatan yang pernah terlibat di zaman kekuasaan bintang
tiga itu ternyata banyak yang mempunyai versi cerita yang berlainan.
Mereka
tidaklah menyanggah atau menidakkan peristiwa itu, mereka juga tidak
memperkecilkan kisah dan pengorbanan anggota-anggota polis yang setia terhadap
tugas dan komitmen yang diberikan sehingga sanggup berkorban jiwa. Mereka sebenarnya
mahu menyedarkan masyarakat keseluruhan bahawa kisah itu adalah antara ratusan
malah ribuan kisah-kisah tentang kesetiaan, tentang pengorbanan dan dikorbankan
anggota keselamatan di zaman yang penuh dengan cabaran. Namun suara kecil itu
sebenarnya tidak cukup untuk didendangkan bagi khalayak ramai. Ia hanya
dilagukan kepada ahli keluarga terdekat jika diluar cuma pada handai dan taulan
yang bersama-sama berjuang dahulu. Hari ini ia semakin terus dilupai malah
tidak mustahil kisah itu akan tengelam di zaman post moden*[4]
sehingga ia tidak ubah kisah dongeng yang diada-adakan kerana fakta dan bukti
menjadi asas kepada sesuatu kenyataan. Dari aspek yang lain pula kumpulan-kumpulan
tertentu menjadikan ia sebagai wancana politik bagi agenda tertentu yang
dilihat lebih kepada berkepentingan untuk mengejar sesuatu matlamat dan tidak
berdasarkan kepada tanggungjawab social dalam khususnya untuk kepentingan
ilmiah dan kefahaman genarasi masa kini.
2.0 Serbuan Bintang Tiga ke atas Balai Polis
Sedeli Besar, Tanjung Sedeli.
Kekejaman
yang dilakukan terhadap anggota yang bertugas dibalai begitu mengerikan dan
amat kejam antaranya seperti yang diceritakan oleh Pak Othman bin Embong 74
tahun yang kini menetap di Rumah Kos Rendah, Sungai Puteri, Kuala Rompin,
Pahang. Beliau yang pernah bertugas sebagai Special Constabel (SC) di zaman
darurat menceritakan beliau tidak pernah lupa sekali-kali akan tragedi yang
menimpa terhadap (8) anggota Polis yang bertugas di Balai Polis Sedeli Besar.
Kota Tinggi, Johor. Meskipun tidak dapat
mengingati tarikhnya dengan tepat namun beliau masih ingat ketika itu usia
beliau hampir 13 tahun. Pihak Jepun
telah ditewaskan oleh Tentera Berikat. Pasukan
Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA)
yang ketika itu mula dikenali
dengan Bintang Tiga menguasai kawasan yang terpencil ini dan telah menunjukkan
kekuatan sebenarnya mereka. . Keadaan keselamatan yang masih samar-samar
dengan sistem pentadbiran yang belum
pulih sepenuhnya menjadikan Bintang Tiga mengisytharkan kepada masyarakat
setempat merekalah yang menjadi pemerintah ketika itu.
Sebenarnya
Kuala Sedeli ketika itu tidaklah menerima impak yang besar akan kalahnya Jepun
di Tanah Melayu, namun kewujudan Pasukan
Bintang Tiga (MPAJA) memang telah
diketahui apatah lagi kawasan sekitar khususnya Mukim Kambau dan Sedeli ramai
terdapat penduduk bangsa cina yang menjadikan perladangan getah dan perhiagaan
sebagai kegiatan harian mereka sementara Masyarakat Melayu menjadikan Nelayan sebagai sumber pendapatan
mereka. Kedatangan Bulan Ramadan Al Mubarak disambut secara kewajipan biasa
memandangkan zaman itu sumber ekonominya agak terhad ditambah dengan
kecelaruan perang yang baru sahaja tamat.
Bagi Pak Othman beliau ingat di pagi subuh
yang hening terdengar bunyi seolah ada orang sedang berjalan dengan membunyikan
isyarat - isyarat yang tidak difahami tetapi ia bukan suara binatang. Dari
celah-celah papan dinding rumah beliau bangkit melihat apa yang berlaku.
‘Saya melihat dengan jelas susuk tubuh pasukan beruniform gelap bintang tiga
sambil mengayakan topi di depan mempunyai bintang tiga ‘ menghampiri balai yang
hanya tidak sampai 10 kaki dari rumah
beliau berada. Tidak sedetik pun bunyi yang didengari kerana ketakutan
namun ternyata susuk-susuk tubuh tersebut mula mengelilingi balai polis yang
ternyata tidak ada sentri atau pengawal itu atau mungkin pengawalnya tertidur.
Bagaikan sepasukan polis membuat serbuan jeritan buka dan tendang pintu kedengaran dengan bahasa yang agak
pelat kecinaan. “Saya nampak ada seorang terjun dari tepi balai yang tentunya polis langsung masuk dalam
perigi berhampiran. Kemudian saya nampak susuk tubuh lain menerpa ke arah lubang
perigi dan letupan senapang kedengaran
dari arah perigi.
3.0 Di
ikat pada pokok Kelapa dan dijatuhi
hukuman tembak .
Letupan
senapang awal pagi itu telah memecah kesunyian serta menambah ketakutan pada
beliau dan keluarga, manalah tau kalau-kalau gerombolan tersebut mengetuk rumah
mereka pula. Langit pagi semakin cerah dan tidak lama kemudian kedengaran
arahan dalam bahasa melayu pelat kecinaan meminta semua orang Kampong Sedeli
Besar berkumpul di satu tempat. “Saya lihat 6,7 anggota balai polis tersebut
terikat di batang pokok kelapa berhampiran balai polis. “Saya juga lihat ada
dua orang tentera Jepun juga di ikat pada pokok yang berhampiran. “Kemudian
dilihat senjata di halakan ke arah tentera jepun berkenaan dan kedua mati
terkulai di tembak di hadapan orang -
orang kampong. Keadaan senyap sepi, ketakutan menyelubungi kawasan
persekitaran. Dengan usia yang telah mampu memikirkan baik dan buruk beliau
juga hanya mampu melihat sahaja sebagaimana orang-orang kampung yang lain.
Beliau memegang erat tangan ibunya langsung
berdiri di belakang ibu yang turut membatu melihatkan kejadian tersebut.
Seingat beliau ramai ramai juga orang kampong yang melihat akan hukuman
tersebut termasuk orang-orang cina, melayu tidak ramai, namun orang kampong
yang rata-rata menjadi nelayan sebenar-benarnya pagi-pagi telah keluar
menangkap ikan, oleh itu yang tinggal hanyah kaum Ibu, anak-anak serta beberapa
orang tua yang tidak turun ke laut sementara sesetengahnya pula telah
mengosongkan rumah awal-awal lagi mungkin menjangka kekalahan tentera Jepun
akan membawa akibat yang buruk .
Dalam
keadaan ketakutan tersebut beliau melihat juga ke arah anggota-anggota polis
yang masih terikat di pokok kelapa tersebut, wajah orang-orang polis yang kelihatan
tidak berdaya, apakah mereka juga akan
menerima nasib yang sama dengan tentera Jepun itu, Tidak lama kemudian lebih
ramai anggota Bintang Tiga mengambil tempat, bugle ditiupkan dan senapang dihalakan kearah anggota-anggota
polis terikat di batang polok kelapa. Letusan sekali lagi kali ini agak
membingitkan dan anggota-anggota polis tersebut terkulai mati dalam keadaan
masih terikat pada pokok kelapa. Keadaan senyap sunyi tadinya menjadi hingar bingar dengan jeritan
anak-anak kecil yang terkejut.” Saya sendiri tidak dapat bayangkan ketika itu
bila lihat polis-polis itu mati ditembak, saya memegang erat tangan ibu saya
yang saya lihat turut tunduk ketakutan. Kemudian keadaan menjadi senyap dan
sunyi semula. Kemudian seseorang yang dilihat sebagai ketua mengarahkan orang
ramai berkumpul dan tidak lama kemudian mereka mula mengagihkan kepingan biskut. Ia kemudian disusuli dengan ucapan dari orang
yang dilihat sebagai ketua tetapi ketua itu berucap dalam bahasa cina yang tidak beliau fahami
maknanya. Pihak Komunis kemudiannya pergi dari tempat tersebut, tiada seorang
pun dari orang kampong yang mampu menghalang akan kekejaman yang dilakukan. Apa
yang mereka mampu sebaik sahaja pihak Bintang Tiga beredar meninggalkan tempat
tersebut mereka meleraikan ikatan terhadap tubuh-tubuh yang tidak bernyawa itu
dan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim
iaitu mengebumikan jenazah anggota polis berasal dari kampong tersebut
sementara anggota polis yang lainnya di bawa ke kampong halaman mereka sebaik
sahaja bantuan dari Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Tinggi sampai.
Pada mulanya memang agak sukar untuk mencari fakta yang mampu menyokong cerita tersebut, malahan anggota polis di Balai Polis Tanjung Sedeli juga tidak tahu menahu akan cerita tersebut, apatah lagi apabila diberitahu dahulu tentang ujudnya sebuah Balai Polis di tempat tersebut. Apa yang mereka tahu kawasan jagaan mereka Balai yang ada itulah Balai Polis Tanjung Sedeli (Sedeli Kecil) yang dipimpin oleh seorang Ketua Polis Balai berpangkat Sarjan Mejar. Cubaan penulis untuk menemui KPB dalam lawatan tersebut gagal, mungkin agak sibuk, namun dengan masa yang telah dirancang rapi dengan bantuan seorang anggota polis yang telah lama yang tinggal di kampong Tuan Seah, Sedeli, penulis di cadangkan berjumpa dengan seorang bekas Special Constabel (SC) yang menetap di Pekan Tanjung Sedeli. Bersambung bahagian 2. Kisah benar temubual sila layari You Tube Menyingkap Sejarah Silam