Minat
untuk membongkar kisah yang tersirat tetapi belum tersurat itu membuka lembaran
baru apabila penulis berjaya menemui lelaki tua tersebut yang lebih mesra
dengan panggilan Tok Man Sampan. Setelah memperkenalkan diri serta tujuan datang untuk berbual dan bertanya khabar, beliau yang senang hati
menerima kunjungan ini Tok Man atau nama sebenar Othman bin Bakri 79 tahun, anak jati Tanjung
Sedeli, Kota Tinggi rupanya juga seorang anggota polis yang pernah berkhidmat
dalam pasokan Home Guard (HG). Beliau menyertai unit operasi atau lebih
dikenali Home Guard Operation (HGO) kawasan Sedeli dalam tahun 1953. Menurut beliau kisah dan cabaran hidup di
zaman komunis memang hebat. Pertemuan ini juga memberikan kepuasan yang amat
mendalam pada penulis memandangkan beberapa catatan sejarah, tragedi yang berlaku antaranya kisah serangan terhadap Balai Polis Kambau,
Kota Tinggi pada 28/6/1950 yang
mengakibatkan kematian Timbalan Ketua Polis Balainya juga dalam pengetahuan
beliau.
Kambau jaraknya 35 km dari IPD Kota Tinggi kini hanya sebuah
estet kecil hanya didiami sejumlah kecil pekerja ladang.
Apabila
diimbas kembali tragedi yang berlaku di Balai Polis Sedeli besar, ternyata
soalan tersebut mengejutkan beliau dengan tidak menyangka penulis tahu akan
cerita tersebut. Penulis khabarkan yang kisah tersebut diperolehi sewaktu
penulis berada di Kuala Rompin Pahang,. Dengan nada yang penuh bermakna beliau
menyatakan kisah tersebut memang benar, tidak banyak yang mengetahui akan
cerita itu malah antara yang terbunuh ialah Ketua Polis Balai tersebut bernama
Sarjan Taib iaitu bapa saudara beliau sendiri. Menurut beliau, waktu kejadian
tersebut umur beliau boleh dikatakan dewasa malah beliau sebenarnya menumpang
tinggal di rumah bapa saudaranya itu. Bagaimanapun pada hari kejadian beliau
balik ke rumah bapanya di Tanjung Sedeli (Sedeli Kecil) yang jaraknya tidak sampai 1 kilometer jika
menggunakan jalan sungai ketika itu.
Beliau hanya sampai semula ke Sedeli Besar,
lewat sewaktu menziarahi jenazah bapa saudaranya itu. Menurut beliau lagi dari cerita
yang diperolehi penduduk setempayt yang melihat kejadian sebelum dilaksanakan
hukuman tembak Bintang tiga tersebut telah meniup bugle sama seperti dalam
filem Bukit Kepong, kemudian barulah hukuman
tembak dilaksanakan.Semua angggota polis dibalai itu dihukum tembak mati oleh komunis seorang demi
seorang dan menurut beliau jumlahnya antara
6 hingga 7 orang waktu itu. Mereka
telah dituduh sebagai pengkhianat kerana bekerja dengan Jepun sebagai Jonakim
(Polis Jepun). Kerakusan dan berkuasanya Bintang Tiga menjadikan keadaan ketika
itu lebih gawat berbanding di Zaman Jepun. Secara amnya wang yang ada waktu
itu tidak lagi berguna. untuk
mendapatkan barang keperluan harian semuanya hanyalah melalui surat yang dikeluarkan
oleh Bintang Tiga
Pak Othman bin Bakri , Kuala Sedeli, Kota Tinggi, Johor
Penulis
kemudiannya bertanya persoalan apakah masa itu tidak ada orang melayu yang
berani menentang keganasan komunis seperti
penentangan Kyai Salleh di Batu Pahat Johor. Menurut beliau setahunya
waktu itu tiada orang melayu yang berani, tapi tidak lama selepas itu Ketua
kampung Sedeli Besar nama Hj Mohamad Lazim dan Imam masjid nama Haji Mansor
antara orang yang orang bertanggungjawab yang menyatukan orang-orang melayu
kawasan tersebut, (4) empat orang telah pergi ke Batu Pahat mendalami Ilmu
Selendang merah dan kemudiannya ilmu itu diajarkan kepada penduduk setempat.
Beliau kemudiannya mencadangkan penulis
bertemu dengan rakan yang bertugas dengan beliau semasa dalam Home Guard dan masih hidup serta menetap
di Kampung Sedeli Besar bernama Hussin atau lebih dikenali dengan nama Tok
Hussin dan seorang lagi bernama Mohamad yang tinggal di Kampong Teluk Jeri,
Tanjung Sedeli. Penulis begitu berbangga sekali mendengar kisah dan pengorbanan
wira-wira Polis yang terbilang ini, meskipun telah lanjut usianya namun
semangat kental yang ada dalam diri cukup hebat dan apakah generasi muda polis
hari ini memiliki jiwa yang sedemikian?. Menurut beliau lagi tugas sebagai Home
Guard Operation (HGO) hanya dibayar elaun RM 4 waktu itu. Tugas adalah membuat
rondaan bersenjata antara (8) hingga (12) orang. Mereka bergerak berdasarkan maklumat yang diarahkan dengan
tujuan menghapuskan aktiviti komunis
komunis. Menurut beliau lagi apabila dipanggil bertugas walaupun laut ketika musim menangkap ikan dah amat
mudah untuk mendapat pulangan yang
lumayan seperti tangkapan ikan bawal dan
sebagainya namun demi menyahut seruan kerajaan mereka bersedia menyarung
uniform, mengalas senjata meredah hutan, merentasi sungai tanpa ragu-ragu.
Mereka sedar tugas yang mereka galas belum tentu pasti mereka akan pulang semula ke pangkuan
keluarga. Setuasi yang bergelora ketika itu dengan setiap hari
berita-berita mengenai kecelakaan yang
berlaku terhadap anggota-anggota polis akibat diserang hendap komunis menjadi
kisah kebiasaan.
Sebelum
masuk waktu zohor, ternyata penulis bernasib baik dapat bertemu dengan Pak
Hussin atau nama sebenarnya Ahmad Bin
Hussin 84 tahun merupakan anak tempatan Kampung Tanjung Sedeli Besar. Usianya
memang telah lanjut namun masih mampu berbual dengan baik, kesudian mengajak penulis
masuk ke dalam rumahnya memberikan peluang penulis menceritakan tujuan penulis
mengunjungi beliau. Merupakan bekas Home Guard dan seterusnya berkhidmat
sebagai Special Constabel dalam Area Security Unit beliau dilihat seorang yang
amat tegas dan kata-katanya penuh berperinsip. Sambil menyemak helaian-helaian
lama ternyata beliau masih menyimpan dengan baik akan sijil khidmat dalam Home
Guard dan Special Constabel yang beliau ada. Penulis kemudiannya mengajukan
pertanyaan mengenai tragedi yang menimpa
anggota Balai Polis Sedeli Besar.
Beliau mengesahkan suatu ketika dahulu Kampong Kuala Sedeli besar ini memang
ada balai polis sejak sejak zaman Jepun dahulu dan sewaktu komunis menyerang
anggota polis balai tersebut beliau telah turun ke laut menangkap ikan. Kejadian
itu hanya diketahui apabila beliau pulang dari menangkap ikan lewat petang.
Waktu itu Jenazah dah dikebumikan sementara lain-lain jenazah telah di bawa ke
Kota Tinggi. Beliau juga mengingati antara yang di tembak ialah Ketua Balai
tersebut yang namanya Sarjan Taib dan satu anggota nama yang beliau ingat nama
Bakar. “Mereka ditembak kerana berkhidmat dengan tentera Jepun dan Komunis
memang benci sangat dengan Jepun sebabnya tidak tahu tetapi orang kampong tidak
pula dibunuhnya. Waktu itu Kuala Sedeli ini memang banyak komunis malah ada
pusat pentadbirannya di sini, paling banyak mereka adalah di kawasan Kambau,
Seingat beliau balai tersebut juga banyak kali diserangnya.Sebelum minta izin
untuk menyambung mencari maklumat yang lain mengenai kesah serangan terhadap
Balai Polis Sedeli Besar, Wira polis di zaman darurat ini berpesan kepada
penulis untuk kehidupan yang sejahtera berpeganglah kepada perinsip (1) Kata
mesti dikota (2) Amanah mesti disampaikan (3) Berjanji mesti ditepati (4) Jika
ingat esok kita akan mati, berbuatlah baik agar tidak rugi di belakang
nanti.
Pak Ahmad bin Hussin 84 Th. Bekas Koperal SC
membelek dokumen lama yang dimiikinya.
Sebelum balik penulis sempat menemubual orang
kampong Sedeli Besar bertanyakan kisah
yang berlaku, Tidak ramai warga tua yang berusia 70 tahun lebih namun
kesempatan penulis ditemukan dengan seorang nenek yang lebih dikenali dengan
panggilan Nenek Wan Mas walaupun usianya
dikatakan lebih 90 tahun, beliau juga dapat mengingati tragedi itu antaranya
menyebut nama-nama anggota polis yang diikat di batang pokok dan di tembak mati ialah Ketua Balai Polis tersebut nama Taib,
dan seorang lagi nama Deris yang dikatakan dikebumikan di kampong tersebut.
Suami Nenek Wan Mas juga merupakan seorang anggota polis Special Constabel pada masa darurat.
Penulis kemudiannya menemubual seorang rakan
semasa Home Guard Pak Osman yang tinggal
di Kampong Teluk Jeri Dalam, Tanjung Sedeli. Kampung tersebut sebenarnya tidak
sampai 2 kilometer dari Balai Polis Tanjung Sedeli (Sedeli Kecil). Sebaik
menemui rumah beliau, selepas memberi salam penulis menyatakan tujuan penulis
datang menemui beliau, Bekas Home Guard yang lebih dikenali dengan nama Mohamad
bin A. Kadir 76 tahun, merupakan anak jati Kampung Teluk Jeri Dalam, Tanjung
Sedeli, Kota Tinggi, Johor. Lebih mesra dengan panggilan Tok Mat, penulis juga
mengutarakan kisah-kisah silam terutama nya di zaman darurat. Ternyata banyak
kisah-kisah pertempuran dan tragedi yang
menimpa anggota-anggota polis di zaman darurat banyak yang beliau ketahui.
Kisah serangan terhadap Balai Polis Sedeli Besar, dan anggota polis diikat di
batang pokok kelapa dan ditembak mati di masa 14 hari pemerintahan komunis juga
beliau tahu akan kisahnya dan beliau
masih ingat dibunuh ialah Sarjan Taib
bapa saudara kawannya (Othman), sepupu bapa beliau anggota polis nama Hamid dan
seorang lagi polis nama Bakar. Sememangnya peristiwa serangan terhadap balai
Polis Sedeli Besar tidak jauh bezanya dengan peristiwa yang berlaku di
lain-lain balai polis khususnya sewaktu sebaik sahaja pihak Jepun berundur dan
pihak British masih belum menguasai sepenuhnya pentadbiran. Cerita Polis
dihukum tembak, pembentukan mahkamah komunis, komunis menjadikan balai polis
sebagai pejabat pentadbiran berlaku hampir dikebanyakkan tempat di Malaya
khususnya di kawasan selatan Tanah Melayu.
Hari
ini kisah-kisah tersebut terus dilupakan, peranan dan tanggungjawab yang getir,
keberanian serta kesungguhan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan
sebenarnya tidaklah mempunyai perbezaan yang besar. “Polis dahulu dan sekarang
sama sahaja tugasnya menjaga keamanan
dan keselamatan Negara, namun dulu mereka sanggup mati, sementelaah pula zaman
yang penuh dengan peperangan memerlukan satu komitmen yang amat tinggi jika
mahu menjadi anggota keselamatan.” Masyarakat dahulu amat mempercayai polis
kerana merekalah tempat masyarakat bergantung harap terutamanya dalam soal-soal
keselamatan’ Itulah antara pandangan wira-wira lama ini, biarpun telah dimamah
usia jiwa yang kental serta semangat kepolisian dilihat amat menebal di hati
mereka dan menceburi bidang kepolisan bererti mereka sedia menghadapi segala
kemungkinan.
Mohon Kongsi artikel ini tuan...
ReplyDeleteBapa ku wira...
ReplyDeleteMohon sejarah ni dimasukkan ke dalam mata pelajaran sejarah oleh kpm.
Tuan..mcm mana sy nk berhubung dgn Tuan.
ReplyDelete