4.0 Serangan di Jalan Bukit Jalor, Air Kuning
Selatan, Gemas, N.Sembilan
Di dalam kejadian yang lain berkaitan
serang hendap gerila Komunis juga berlaku di Negeri Sembilan iaitu di kawasan Air Kuning Selatan, Gemas pada 12 Ogos 1952 . Dalam pertempuran tersebut
direkodkan (8) anggota keselamatan terdiri (1) PI Arthur Abishegam (2) L/Kpl
372 Ahmad bin Yakim (3) PC 2664 Alias Bin Tamin (4) Rekrut 24204 Yusof Bin Mohd
(5)SC 2164 Mohd. Yasin Bin Mohamad (6) SC 5279 Tan Ah
Lee (7) SC 5575 Mohd Jani Bin Pais (8) SC 5108 Manap bin Mohamed dilaporkan terbunuh.
Menceritakan kejadian tersebut bagi Dollah bin Uyub 83 tahun kini menetap di
Ulu Melaka, Batang Melaka, Melaka adalah
antara saksi masih hidup yang terlibat dalam pertempuran tersebut. Beliau bertugas sebagai
Special Constable (SC) masih ingat hari
itu jam lebih kurang pukul 11.00 pagi. Mereka baru sahaja balik dari rondaan. Di dalam berek yang dihuni oleh (12) anggota ada yang sedang buka
pakaian, ada yang sedang mula hendak memasak dan ada yang baru sahaja hendak membuka
kasut. Kenderaan GMC muncul dari balai
Air Kuning dan pemandunya memberitahu dapat hukuman dari (1) Inspektor India semua siap sedia ada tugas, ada lori
kena bakar dekat Bukit Jalor . " Kami
semua kelam kabut pakai uniform semula, yang masak nasi pun tinggalkan nasi
yang di masak. Sampai di Balai Polis Air Kuning Selatan kami di taklimat oleh
Inspektor India tersebut. Kami di
beritahu untuk mengikut beliau ke Bukit Jalor kerana ada maklumat lori kena bakar. Atas arahan pegawai kami
menurut perintah tanpa banyak soalan.
Saksi kejadian Dollah bin Uyub 83 Th yang terlibat dalam
pertempuran tersebut dan masih mengingati kisah tersebut dengan baik.
pertempuran tersebut dan masih mengingati kisah tersebut dengan baik.
Semuanya kelihatan seperti biasa pada hari itu
tiada tanda-tanda yang ganjil. Kami semua menaiki GMC dari balai hingga sampai kira-kira 4 batu dari
Hutan Simpan Bukit Jalor, Air Kuning Selatan semua anggota meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sementara kenderaan dibiarkan di
tepi jalan. Lebih kurang 2 batu kami tiada menemui apa-apa, mulanya hati
berkata-kata mana ada lori kena bakar, kami meneruskan lagi jauh ke sempadan hutan dan akhirnya memang terdapat lori kena bakar dan ketika itu api masih ada menjilat kenderaan berkenaan.
5.0 Bertempur dengan Gerila Komunis.
Melihat keadaan lori yang terbakar, setelah
semua anggota sampai, siasatan keliling tempat lori terbakar dijalankan, Keadaan masa itu masih biasa sahaja, namun
tidak lama kemudian terdengar letupan seperti tembakan di hadapan yang agak
jauh. Tampa mengsyaki apa-apa dengan menjangkakan letupan itu dari kenderaan yang terbakat, pegawai tersebut mengambil keputusan untuk meninggalkan sahaja kenderaan berkenaan. Kami kemudiannya berpatah balik setelah tiada menemui apa-apa bukti menarik. Kali ini beliau berada di posisi nombor 4 dari belakang dan dihadapan sekali didahului oleh pegawai
India berkenaan. Beliau masih ingat rakan beliau nama Manap membisikkan kepada beliau tentang hatinya yang tidak sedap seolah-olah ada
bahaya yang menanti. Kami meneruskan perjalanan lebih kurang suku batu, rupa-rupanya gerila komunis
telah menunggu dan mereka telah menyerang hendap dipercayai menembak dengan senjata bren gun. Jarak yang agak jauh
antara (13) anggota yang berjalan dengan posisi beliau yang agak terkebelakang
menyebabkan beliau hanya mendengar akan
letupan dan juga jeritan seperti orang tercedera dan tidak lama
kemudian keadaan menjadi gawat apabila rakan menjerit dengan jelas mengatakan komunis telah menyerang
serta menyuruh kami cari tempat berlindung.
Suasana jadi kelam kabut waktu itu kerana tembakan bertalu-talu dilepaskan arah yang tidak dapat dipastikan.
Beliau dengan pantas cuba melompat naik ke atas bukit
kerana semasa berjalan tadi berada dalam laluan
yang berbentuk lurah. Salah seorang rakan SC bangsa cina telah terkena tembakan dan mati serta merta. Tempat
beliau berlindung hanyalah belukar kecil dan ternyata tiada tempat pertahanan yang sesuai. Masih beliau ingat ketika itu beliau bersama dengan rakan, tiba-tiba dari hadapan muncul
(2) orang gerila beruniform komunis, beliau membisik kepada rakan menunjuk isyarat ada komunis di depan. Rakan
beliau terus melepaskan tembakan. Beliau tidak berapa pasti samaada tembakan itu
mengena atau tidak.
Pertempuran yang berlangsung memang dasyat malah dalam jarak yang agak dekat. Kekuatan
Gerila komunis dianggarkan lebih kurang
100 orang. Mereka juga dipercayai menggunakan senjata jenis ‘brengun' berdasarkan bunyi letupan yang berterusan. Di pihak pasukan keselamatan juga dibekalkan dengan satu ‘Bren Gun”
tetapi telah berlaku ‘Stoppagges”
menyebabkan senjata gagal berfungsi dan anggota yang membawa peluru ’brengun”
tutut ditembak dan mati serta merta. Dalam kebingitan serangan itu beliau juga masih ingat tiba-tiba kedengaran suara seperti orang bercakap fasih bahasa melayu melaungkan
“Mana yang tidak mahu menyerah, tembak mati”. Dalam keadaan yang genting, beliau
sempat membisikkan pada rakannya nama
Jani untuk menyerah, namun rakannya itu
ternyata enggan. Mereka kemudiannya cuba naik ke atas bukit, beliau
kemudiannya sekali lagi mengajak Jani melarikan diri, namun rakannya itu mengatakan ‘ Kalau
kau nak lari, larilah, aku akan bertahan, aku polis, beliau kemudiannya ambil keputusan terus naik ke atas
bukit dan ternyata Jani tidak ikut sama.
Semasa cuba mencari perlindungan ,beberapa tembakan tertuju ke arah
beliau tetapi tidak kenn dan sebaik sampai di sebelah atas bukit beliau matikan diri di kawasan
yang agak terlindung dan keadaan belukar yang agak tebal. Beliau fikir jika bergerak, pastinya ajal, itulah hari terakhir beliau melihat dunia, dalam keadaan bersembunyi itu beliau nampak dengan jelas (2) gerila komunis sedang meninjau-ninjau, nasib beliau baik kerana kerana kedua-dua komunis itu tidak nampak
beliau. Apabila gerila komunis itu mula hilang dari pandangan, beliau kemudian
fikirkan cara untuk melepaskan diri sedang pertempuran hebat masih berlangsung hebat. Beliau kemudiannya ambil keputusan meninggalkan
tempat pertempuran dengan niat untuk mendapatkan bantuan. Disebabkan senapang yang berat beliau ambil keputusan meninggalkan senapang dan hanya membawa peluru yang terikat dipinggang dan terus merangkak mencari cari jalan keluar.
6.0 Selamat tetapi rakan ramai yang terkorban
Setelah agak jauh dari medan pertempuran namun tembakan
masih kedengaran, beliau bangkit dan melihat arah laluan. Beliau tidak pasti
apakah laluan itu akan membawa beliau ke arah Gunung Ledang atau ke tempat lain. Beliau
mengambil keputusan mengikut arah Matahari turun. Jam sekitar pukul 4 petang,
beliau akhirnya menemui laluan yang kemudiannya membawa beliau menuju ke arah kenderaan GMC diletakkan.
Sebaik sampai beliau melihat seorang rakan juga menghala ke kenderaan GMC. Rakan tersebut
memberitahu kepada beliau dengan nada sayu bahawa rakan-rakan mereka banyak gugur dalam pertempuran itu dan ada juga yang cedera dan di
tawan. Rakan beliau kemudiannya memberitahu hendak ke Balai Polis minta
bantuan tergesa-gesa menghidupkan kenderaan GMC dan terus meninggalkan tempat kejadian tanpa menyedari beliau belum naik kenderaan tersebut. Dalam kekeliruan dan sambil menarik nafas panjang, melihatkan keadaan yang amat penat beliau ambil keputusan bersandar
di batang getah untuk merihatkan diri dan berada dalam posisi bersembunyi hanya berbekalkan peluru tanpa
senjata dan berharap rakannya akan pulang segera atau bantuan lain sampai.
Jam lebih kurang pukul 5.00 petang tentera
British bersama rakan beliau sampai,
Setelah merasakan keadaan selamat, beliau menuju ke kenderaan tentera British tersebut
Pegawai British kemudiannya menyuruh beliau berada dekat kenderaan dan mereka kemudiannya
masuk menuju ke tempat pertempuran berlaku. Masih beliau ingat, tentera british itu kembali kekenderaan dengan (8) mayat
terkorban termasuk Inspektor india dan beberapa rakan beliau yang dalam keadaan
cedera parah. Beliau sempat melihat mayat
rakan-rakan yang terkorban. Ada yang putus anggota tangan, kaki dan ada yang
cedera teruk di muka. Rakan yang cedera sempat memberitahu antara yang mula - mula terbunuh ialah pegawai India tersebut kerana dikatakan pegawai itu menyebut dia Inspektor kepada gerila komunis lalu
ditembak mati. Beliau juga melihat rakan beliau yang enggan melarikan diri nama Mat Jani terkorban dalam pertempuran itu dengan keadaan tubuhnya yang amat menyedihkan.
Mereka kemudiannya di bawa ke Balai Air Kuning
Selatan. Beliau masih ingat (5) anggota yang masih hidup adalah beliau sendiri, Kpl
Hussin, Sufian, Leman dan Rasul. (3) daripadanya cereda parah. Sebaik sampai di Balai
Polis Air Kuning Selatan, telah ramai yang menunggu. Beliau melihat salah seorang isteri kepada
mangsa yang terkorban meratapi suaminya sambil mendukung anaknya yang masih kecil. Turut yang terkorban
ada yang baru berkahwin dan ada yang masih bujang. Suasana pilu dan hiba
menyelubungi keadaan. apabila melihat mereka yang terkorban walaupun dalam keadaan masih berlumuran darah. Beliau dan rakan-rakan yang masih hidup kemudiannya di
hantar ke Hospital Tampin untuk rawatan. Hari itu berita serangan terhadap pasokan keselamatan di Air Kuning Selatan antara yang hangat diperkatakan.
7.0 Saksi Home Guard di Balai Polis Air Kuning
Bagi En. Jantan bin Harun 72 tahun yang menetap di Kg. Paya Lebar Air
Kuning Selatan, Gemas Negeri Sembilan masih ingat waktu itu beliau bertugas sebagai
Home Guard di Balai Polis Air Kuning Selatan. Kisah tersebut diketahui ramai
waktu itu. Dalam kejadian tersebut sebenarnya lapan (8) Polis terbunuh dan ada
beberapa yang cedera parah. Anggota
keselamatan yang terbunuh itu sebenarnya dalam perjalanan balik dari menyiasat satu laporan kejadian sebuah motolori kepunyaan orang
kampong Air Kuning nama Amat Tinggi yang dilaporkan telah di bakar komunis. Dalam perjalanan
pulang dari tempat kejadian, pasukan keselamatan yang menaiki kenderaan GMC
diserang hendap gerila komunis dipercayai dari Rajimen ke 3 Parti Komunis Malaya yang berkekuatan
hampir 100 orang menyebabkan lapan (8) anggota terbunuh di tempat kejadian. Peristiwa itu
berlaku di Bukit Jalor yang kini merupakan
kawasan ladang kelapa sawit dan menjadi penempatan Peneroka Felda Bukit Jalor. Dahulunya adalah kawasan
Hutan Simpan Bukit Jalor dan ketika itu
kawasan tersebut memang diketahui
terdapatnya banyak aktiviti gerila komunis. Kesemua jenazah itu kemudiannya di
bawa terus ke Hospital Besar Tampin oleh pihak tentera yang mengambil alih mengawal
kawasan tersebut. Menurut beliau
lagi kawasan Air Kuning waktu itu terkenal dengan nama-nama besar gerila komunis
seperti Ah Wah dan Ah Lling. Ah Wah dikatakan kemudiannya menyerah diri kepada kerajaan
sementara Ah Ling berjaya ditembak mati di Sungai Sibol Estet. Waktu itu juga
terdapat juga gerila komunis berbangsa Melayu yang terkenal antaranya nama Sarip dan Mahad Sibun. Beliau tidak pasti sama ada gerila ini terbunuh atau menyerah diri sebaik sahaja darurat tamat.
8.0 Lihat rakan terkorban depan mata.
Suasana perang yang mencengkam ketika itu juga mencatatkan beberapa insiden serang
hendap yang lain. Walaupun tidak melibatkan jumlah korban yang ramai, namun
kejadian tersebut tetap dalam ingatan mereka yang pernah berkhidmat pada
waktu itu dan pada hari ini mereka masih mengingatinya sebagai kisah yang tidak dapat
mereka lupakan. Bagi WSC Mooi Chew Leng @ Aminah Bt Abdullah 71 Tahun dari
Tampin, Negeri Sembilan menceritakan pengalaman beliau semasa kenderaan yang beliau naiki diserang hendap gerila komunis di Pondok Batang,
Jasin Melaka. Ketika itu menjalankan tugas bantuan eskot senjata ke Asahan, Melaka.
Kejadian tersebut telah mengorbankan rakan beliau dari pasukan Axulary Police (AP)
no 61 nama Tai Jon. "Dia mati depan saya, kami duduk berhadapan, nasib saya baik peluru itu tidak kena saya kalau tidak hari ini saya pun tak ada lagi. Beliau ketika itu menyertai Pasukan keselamatan kerana beliau tinggal dikalangan masyarakat melayu, dan diakhir perkhidmatan waktu itu beliau berkahwin dengan pegawai Polis berpangkat Inspektor yang bertugas di salah sebuah balai dalam kawasan pentadbiran IPD Tampin.
9.0 Terbunuh ketika sedang mandi
Bagi Mahmud bin Abu 87 tahun yang kini menetap di Felda Pasir
Besar, Gemas, Negeri Sembilan menceritakan zaman darurat sememangnya banyak dengan kisah anggota polis yang terkorban dalam penentangan terhadap gerila komunis. Zaman itu beliau masih ingat pertubuhan Angkatan Pemuda
Insaf(API) itu juga dipanggil dengan
nama Angkatan Pembunuh Inggris, Mereka menyerang pasukan keselamatan bukan sahaja
sewaktu dalam operasi. Di Sungai Kelamah Estet, Gemas Negeri Sembilan, misalnya
(3) anggota SC yang sedang mandi telah
terbunuh dalam satu serang hendap. Catatan kejadian kemudiannya dikenalpasti peristiwa tersebut berlaku pada 03/11/1950 dimana (3) Special Konstabel (SC)
(1) SC/CPL 5240 Biland Khan,(2)
SC 24399 Nataha bin Yassin (3) SC 16080 Sabtu Bin Adam terkorban dalam kejadian tersebut.
Perjuangan menentang keganasan dalam
memastikan keamanan dan ketenteraman Negara di zaman yang mencabar itu menuntut
keberanian dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas. Perang terhadap gerila komunis di Negeri Sembilan dalam tempoh darurat di antara tahun 1948-1960 juga mencatatkan ramai anggota
polis yang terkorban. Kisah yang dirakamkan ini adalah antara kisah-kisah yang
jarang diketahui ramai. Wira-wira yang terlibat pula kini telah meniti usia
emas. Jasa dan pengorbanan mereka sebenarnya tidaklah mereka inginkan pujian
yang mengunung. Namun sekadar mengingati dan untuk disampaikan kisah perjuangan waktu itu
khususnya kepada generasi muda, itulah hasrat yang mereka inginkan sebelum mereka pergi.
Bagi
penulis mereka memang terbilang walau tidak pernah di julang dan sesungguhnya
kisah dan peristiwa mereka itu akan diingati khususnya kepada generasi muda hari ini biarpun mereka tiada lagi. Mengimbas kembali cerita Dollah bin Uyub tentang sahabatnya nama Mat jani yang terkorban, berjuang tampa takut, keberanian yang tinggi meskipun jumlah musuh lebih besar, semangat biar putih tulang jangan putih mata, bersedia mengalas tanggungjawab yang diamanahkan biarpun nyawa dipertaruhkan mereka sememangnya wira-wira negara yang amat hebat. Semoga kisah ini akan menjadi iktibar kepada generasi muda hari ini, menjadi tauladan dan ingatan bahawa perjuangan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negara sememangnya menuntut semangat yang tinggi dan dikalangan mereka ada wira yang sedia mengkorbankan diri demi keamanan negara tercinta. Segala catatan dan keterangan termasuk rakaman temubual
yang dibuat adalah menyingkap kembali sejarah perjuangan rakan-rakan sepasukan
yang terdahulu, itulah janji penulis kepada wira-wira yang meniti usia emas ini bahawa
cerita mereka tidak akan padan sampai bila-bila, biarpun meraka tiada lagi.
Salam..boleh sy dpatkn alamat dan no tel En. Dollah bin Uyub... Terima Kasih
ReplyDeletemenarik sejarah ini. Ingin ku bukukan..
ReplyDelete