Friday, 3 May 2013

SIRI KEDUA-SERANGAN TERHADAP BALAI POLIS SEDILI BESAR, KOTA TINGGI


            Minat untuk membongkar kisah yang tersirat tetapi belum tersurat itu membuka  lembaran baru apabila penulis berjaya menemui lelaki tua tersebut yang lebih mesra dengan panggilan Tok Man Sampan. Setelah memperkenalkan diri serta tujuan datang untuk berbual dan bertanya khabar, beliau yang senang hati menerima kunjungan ini Tok Man atau nama sebenar Othman bin Bakri 79 tahun, anak jati Tanjung Sedeli, Kota Tinggi rupanya juga seorang anggota polis yang pernah berkhidmat dalam pasokan  Home Guard (HG). Beliau menyertai unit operasi atau lebih dikenali Home Guard Operation (HGO) kawasan Sedeli dalam tahun 1953.  Menurut beliau kisah dan cabaran hidup di zaman komunis memang hebat. Pertemuan ini juga memberikan kepuasan yang amat mendalam pada penulis  memandangkan beberapa catatan sejarah, tragedi  yang berlaku antaranya  kisah serangan terhadap Balai Polis Kambau, Kota Tinggi  pada 28/6/1950 yang mengakibatkan kematian Timbalan Ketua Polis Balainya juga dalam pengetahuan beliau.

                          Kambau jaraknya 35 km dari IPD Kota Tinggi kini hanya sebuah 
                                estet kecil  hanya didiami  sejumlah kecil pekerja ladang.
 
Apabila diimbas kembali tragedi yang berlaku di Balai Polis Sedeli besar, ternyata soalan tersebut mengejutkan beliau dengan tidak menyangka penulis tahu akan cerita tersebut. Penulis khabarkan yang kisah tersebut diperolehi sewaktu penulis berada di Kuala Rompin Pahang,. Dengan nada yang penuh bermakna beliau menyatakan kisah tersebut memang benar, tidak banyak yang mengetahui akan cerita itu malah antara yang terbunuh ialah Ketua Polis Balai tersebut bernama Sarjan Taib iaitu bapa saudara beliau sendiri. Menurut beliau, waktu kejadian tersebut umur beliau boleh dikatakan dewasa malah beliau sebenarnya menumpang tinggal di rumah bapa saudaranya itu. Bagaimanapun pada hari kejadian beliau balik ke rumah bapanya di Tanjung Sedeli (Sedeli Kecil)  yang jaraknya tidak sampai 1 kilometer jika menggunakan jalan sungai ketika itu.

  Beliau hanya sampai semula ke Sedeli Besar, lewat sewaktu menziarahi jenazah bapa saudaranya itu. Menurut beliau lagi dari cerita yang diperolehi penduduk setempayt yang melihat kejadian sebelum dilaksanakan hukuman tembak Bintang tiga tersebut telah meniup bugle sama seperti dalam filem Bukit Kepong, kemudian barulah hukuman  tembak dilaksanakan.Semua angggota  polis dibalai itu  dihukum tembak mati oleh komunis seorang demi seorang dan menurut beliau jumlahnya antara  6 hingga 7 orang  waktu itu. Mereka telah dituduh sebagai pengkhianat kerana bekerja dengan Jepun sebagai Jonakim (Polis Jepun). Kerakusan dan berkuasanya Bintang Tiga menjadikan keadaan ketika itu lebih gawat berbanding di Zaman Jepun. Secara amnya wang yang ada waktu itu  tidak lagi berguna. untuk mendapatkan barang keperluan harian semuanya hanyalah melalui surat yang dikeluarkan oleh Bintang Tiga  

                Pak Othman bin Bakri , Kuala Sedeli, Kota Tinggi, Johor

Penulis kemudiannya bertanya persoalan apakah masa itu tidak ada orang melayu yang berani menentang keganasan komunis seperti  penentangan Kyai Salleh di Batu Pahat Johor. Menurut beliau setahunya waktu itu tiada orang melayu yang berani, tapi tidak lama selepas itu Ketua kampung Sedeli Besar nama Hj Mohamad Lazim dan Imam masjid nama Haji Mansor antara orang yang orang bertanggungjawab yang menyatukan orang-orang melayu kawasan tersebut, (4) empat orang telah pergi ke Batu Pahat mendalami Ilmu Selendang merah dan kemudiannya ilmu itu diajarkan  kepada penduduk setempat.

  Beliau kemudiannya mencadangkan penulis bertemu dengan rakan yang bertugas dengan beliau semasa dalam Home Guard dan masih hidup serta menetap di Kampung Sedeli Besar bernama Hussin atau lebih dikenali dengan nama Tok Hussin dan seorang lagi bernama Mohamad yang tinggal di Kampong Teluk Jeri, Tanjung Sedeli. Penulis begitu berbangga sekali mendengar kisah dan pengorbanan wira-wira Polis yang terbilang ini, meskipun telah lanjut usianya namun semangat kental yang ada dalam diri cukup hebat dan apakah generasi muda polis hari ini memiliki jiwa yang sedemikian?. Menurut beliau lagi tugas sebagai Home Guard Operation (HGO) hanya dibayar elaun RM 4 waktu itu. Tugas adalah membuat rondaan bersenjata antara (8) hingga (12) orang. Mereka bergerak  berdasarkan maklumat yang diarahkan dengan tujuan menghapuskan  aktiviti komunis komunis. Menurut beliau lagi apabila dipanggil bertugas walaupun  laut ketika musim menangkap ikan dah amat mudah  untuk mendapat pulangan yang lumayan seperti tangkapan ikan  bawal dan sebagainya namun demi menyahut seruan kerajaan mereka bersedia menyarung uniform, mengalas senjata meredah hutan, merentasi sungai tanpa ragu-ragu. Mereka sedar tugas yang mereka galas belum tentu  pasti mereka akan pulang semula ke pangkuan keluarga. Setuasi yang bergelora ketika itu dengan setiap hari berita-berita  mengenai kecelakaan yang berlaku terhadap anggota-anggota polis akibat diserang hendap komunis menjadi kisah kebiasaan.

Sebelum masuk waktu zohor, ternyata penulis bernasib baik dapat bertemu dengan Pak Hussin atau nama sebenarnya   Ahmad Bin Hussin 84 tahun merupakan anak tempatan Kampung Tanjung Sedeli Besar. Usianya memang telah lanjut namun masih mampu berbual dengan baik, kesudian mengajak penulis masuk ke dalam rumahnya memberikan peluang penulis menceritakan tujuan penulis mengunjungi beliau. Merupakan bekas Home Guard dan seterusnya berkhidmat sebagai Special Constabel dalam Area Security Unit beliau dilihat seorang yang amat tegas dan kata-katanya penuh berperinsip. Sambil menyemak helaian-helaian lama ternyata beliau masih menyimpan dengan baik akan sijil khidmat dalam Home Guard dan Special Constabel yang beliau ada. Penulis kemudiannya mengajukan pertanyaan mengenai tragedi yang menimpa  anggota Balai  Polis Sedeli Besar. Beliau mengesahkan suatu ketika dahulu Kampong Kuala Sedeli besar ini memang ada balai polis sejak sejak zaman Jepun dahulu dan sewaktu komunis menyerang anggota polis balai tersebut beliau telah turun ke laut menangkap ikan. Kejadian itu hanya diketahui apabila beliau pulang dari menangkap ikan lewat petang. Waktu itu Jenazah dah dikebumikan sementara lain-lain jenazah telah di bawa ke Kota Tinggi. Beliau juga mengingati antara yang di tembak ialah Ketua Balai tersebut yang namanya Sarjan Taib dan satu anggota nama yang beliau ingat nama Bakar. “Mereka ditembak kerana berkhidmat dengan tentera Jepun dan Komunis memang benci sangat dengan Jepun sebabnya tidak tahu tetapi orang kampong tidak pula dibunuhnya. Waktu itu Kuala Sedeli ini memang banyak komunis malah ada pusat pentadbirannya di sini, paling banyak mereka adalah di kawasan Kambau, Seingat beliau balai tersebut juga banyak kali diserangnya.Sebelum minta izin untuk menyambung mencari maklumat yang lain mengenai kesah serangan terhadap Balai Polis Sedeli Besar, Wira polis di zaman darurat ini berpesan kepada penulis untuk kehidupan yang sejahtera berpeganglah kepada perinsip (1) Kata mesti dikota (2) Amanah mesti disampaikan (3) Berjanji mesti ditepati (4) Jika ingat esok kita akan mati, berbuatlah baik agar tidak rugi di belakang nanti. 

                            Pak Ahmad bin Hussin 84 Th. Bekas Koperal SC 
                                 membelek  dokumen lama yang dimiikinya.

 Sebelum balik penulis sempat menemubual orang kampong Sedeli Besar  bertanyakan kisah yang berlaku, Tidak ramai warga tua yang berusia 70 tahun lebih namun kesempatan penulis ditemukan dengan seorang nenek yang lebih dikenali dengan panggilan Nenek Wan Mas walaupun usianya dikatakan lebih 90 tahun, beliau juga dapat mengingati tragedi itu antaranya menyebut nama-nama anggota polis yang diikat di batang pokok dan di tembak mati  ialah Ketua Balai Polis tersebut nama Taib, dan seorang lagi nama Deris yang dikatakan dikebumikan di kampong tersebut. Suami Nenek Wan Mas juga merupakan seorang anggota polis  Special Constabel pada masa darurat. 

 Penulis kemudiannya menemubual seorang rakan semasa Home Guard  Pak Osman yang tinggal di Kampong Teluk Jeri Dalam, Tanjung Sedeli. Kampung tersebut sebenarnya tidak sampai 2 kilometer dari Balai Polis Tanjung Sedeli (Sedeli Kecil). Sebaik menemui rumah beliau, selepas memberi salam penulis menyatakan tujuan penulis datang menemui beliau, Bekas Home Guard yang lebih dikenali dengan nama Mohamad bin A. Kadir 76 tahun, merupakan anak jati Kampung Teluk Jeri Dalam, Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor. Lebih mesra dengan panggilan Tok Mat, penulis juga mengutarakan kisah-kisah silam terutama nya di zaman darurat. Ternyata banyak kisah-kisah pertempuran dan  tragedi yang menimpa anggota-anggota polis di zaman darurat banyak yang beliau ketahui. Kisah serangan terhadap Balai Polis Sedeli Besar, dan anggota polis diikat di batang pokok kelapa dan ditembak mati di masa 14 hari pemerintahan komunis juga beliau  tahu akan kisahnya dan beliau masih ingat dibunuh ialah  Sarjan Taib bapa saudara kawannya (Othman), sepupu bapa beliau anggota polis nama Hamid dan seorang lagi polis nama Bakar. Sememangnya peristiwa serangan terhadap balai Polis Sedeli Besar tidak jauh bezanya dengan peristiwa yang berlaku di lain-lain balai polis khususnya sewaktu sebaik sahaja pihak Jepun berundur dan pihak British masih belum menguasai sepenuhnya pentadbiran. Cerita Polis dihukum tembak, pembentukan mahkamah komunis, komunis menjadikan balai polis sebagai pejabat pentadbiran berlaku hampir dikebanyakkan tempat di Malaya khususnya di kawasan selatan Tanah Melayu.

                                 Plak penghargaan terhadap bekas pejuang milik Mohamad bin A Kadir 


Hari ini kisah-kisah tersebut terus dilupakan, peranan dan tanggungjawab yang getir, keberanian serta kesungguhan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan sebenarnya tidaklah mempunyai perbezaan yang besar. “Polis dahulu dan sekarang sama sahaja  tugasnya menjaga keamanan dan keselamatan Negara, namun dulu mereka sanggup mati, sementelaah pula zaman yang penuh dengan peperangan memerlukan satu komitmen yang amat tinggi jika mahu menjadi anggota keselamatan.” Masyarakat dahulu amat mempercayai polis kerana merekalah tempat masyarakat bergantung harap terutamanya dalam soal-soal keselamatan’ Itulah antara pandangan wira-wira lama ini, biarpun telah dimamah usia jiwa yang kental serta semangat kepolisian dilihat amat menebal di hati mereka dan menceburi bidang kepolisan bererti mereka sedia menghadapi segala kemungkinan.
SIRI KEDUA: BEKOK TRAGEDI YANG DILUPAKAN



Solat Jumaat yang terakhir.

            Strategi gerila komunis dalam menakutkan pasukan keselamatan dan masyarakat setempat tidak sahaja sewaktu anggota sedang menjalankan tugasnya. Bagi Pak Rahim Bin Ahmad 81 tahun yang kini menetap di Rumah Rakyat Bekok menceritakan pada tahun 1952  (6) anggota SC terkorban dalam satu serang hendap gerila komunis. Kejadian itu berlaku sewaktu anggota  polis tersebut dalam perjalanan pulang sebaik sahaja habis menunaikan Solat Jumaat di Masjid Bekok yang jaraknya lebih kurang (7) kilometer dari tempat kediaman mereka di Sungai Estet Bekok. Turut menumpang  kenderaan polis itu ada seorang wanita mengandung dan anaknya. 

                                           Kini dikenali dengan nama Ldg.Sungai Bekok.

Sebaik sahaja menghampiri Sungai Bekok Estet kenderaan yang dinaiki telah terkena jerangkap samar yang dipasang oleh pihak gerila. Lertupan yang kuat itu telah menyebabkan kenderaan terpelanting menyebabkan kesemua anggota termasuk orang awam terbunuh dalam kejadian tersebut. Senarai anggota keselamatan yang terbunuh dalam insiden tersebut yang berlaku  27/12/1952 ialah:-

I.          SC 7243 Omar Bin Ali
ii.         SC 6828 Mohd Hon bin Kasman
iii.        SC 7065 Ishak bin Chandi
iv.        SC 7290 Abd Hamid bin Sudin
v.         SC 7166 Abd Hamid bin Hj Mohd Paiman
iv.        SC 20158 Aziz bin Sarom 


Senarai wira-wira yang terkorban masa darurat di Muzium Polis Kuala Lumpur
Disebalik nama dan peristiwa ini berapa ramaikah  yang mengetahui kisahnya?.
.

            Perang itu memang kejam dan tiada  menunjukkan belas dan kasihan. Bagi anggota yang terkorban ia adalah kejutan yang besar pada ada anak-anak yang tidak menjangka akan kehilangan ayah, isteri yang tidak percaya akan kehilangan suami serta ibu bapa yang  mesti menerima hakikat akan kehilangan anak lelakinya. . Namun itulah tekad dan iltizam yang ada pada wira-wira ini, walaupun ditakdir menghadap illahi  mereka tidak gentar untuk terus menambahkan semangat rakan-rakan agar berjuang habis-habisan kerana sebarang tindak tanduk yang bersifat petualang kepada Negara, perosak terhadap keamanan dan kesejahteraan  itu mesti  dinyahkan dari bumi tercinta ini.

5.0       Menangis Di Sisi Mayat Ayah.

            Pergerakan gerila Komunis yang aktif di kawasan Bekok sebenarnya mengundang petaka tidak sahaja menunggu saat anggota keselamatan berada dalam kumpulan yang ramai, malah dalam lain-lain keadaan nilai nyawa anggota pasukan keselamatan dianggap suatu  yang biasa apatah lagi jika mereka bersama dengan pihak yang menjadi  sasaran utama mereka iaitu pegawai orang putih. 

Bagi Pak Osman Bin Sepan 77 tahun juga bekas SC kawasan Bekok dan kini menetap di Rumah Rakyat Bekok menceritakan  bagaimana seorang anggota AP yang mengiringi ketuanya telah terkorban bersama-sama ketuanyasewaktu bertugas. Dalam peristiwa tersebut dicatatkan pada 30/06/1952  (2) anggota AP iaitu AP / Insp F.H Eilkins dan AP 562 Yahya bin Abbas terbunuh dalam satu serang hendap gerila komunis. Peristiwa  ini begitu menarik pada waktu itu mamandangkan sewaktu mayat ditemui, anak Yahya yang berusia 2 tahun setengah masih berada di sisi mayat bapanya. Kisah yang sama juga diceritakan oleh En.Ahmad bin Abdullah 81 tahun  yang menetap di Felda Tenang, Labis Segamat Johor. Beliau yang ketika itu berkhidmat sebagai SC kawasan Bekok masih ingat rakan beliau nama Yahya sebenarnya dalam perjalanan bersama pengurus ladang ke sekolah yang terletak di Pekan Bekok, Turut dibawa anak beliau yang hendak ditinggalkan di rumah saudaranya. Gerila Komunis telah menyerang hendap menyebabkan beliau dan pengurus ladang tersebut terkorban di tempat kejadian sementara anaknya tidak dicederakan. Mengingati kembali peristiwa itu dirasakan terlalu sukar untuk dibayangkan bertapa kejamnya perang. Tentunya dapat kita bayangkan seorang anak kecil yang tidak mengetahui apa-apa meratapi ayah kesayangannya kini tidak lagi bergerak,terkujur dalam keadaan berlumuran darah dan pergi buat selama-lamanya. Namun dalam menjaga keamanan dan keselamatan Negara, khidmat dan jasa yang ditabur bukan untuk menuntut sekalung puji-pujian tetapi cukuplah sekadar untuk diingati oleh generasi muda hari ini khususnya warga PDRM bahawa  tugas dan peranan pasukan keselamatan zaman itu  sesungguhnya memerlukan keberanian, keikhlasan dan penuh berintegriti dalam melaksanakan sebarang tanggungjawab yang diamanahkan. 

6.0       Penutup
Hari ini keamanan dan ketenteraman yang tercipta, tidak ramai yang mengetahui bagaimanakah bermula sejarah itu. Meminjam kata-kata Soekarno “Sejarah adalah sebahagian dari diri sebagai bangsa, dia tidak boleh dipisahkan apalagi dilupakan. Melupakan sejarah - apalagi meninggalkan sejarah - sama ertinya dengan kehancuran sebuah bangsa." 17 Ogos 1966 memberikan suatu gambaran mengapakah kita tidak seharusnya melupai sejarah kerana di situ ada kisah untuk dijadikan pendorong, ada cerita  yang boleh kita jadikan sandaran  agar kita percaya, mencipta keamanan itu tidak ada jalan mudah. Mereka  yang dipanggil polis itu tidak sekadar berdiri memerhati dan melihat gelagat orang lain. Mereka sentiasa bersedia. Menghayati kata-kata bekas Home Guard (HG) En Mohamad bin Abdullah 74 tahun yang menetap di Rumah Rakyat Labis, ‘ “ “Saya memang marah kalau orang kata polis takut, Jangan sekali-kali kata polis takut, kalau polis takut Negara kita hari ini tidak akan begini kesenangnya, polis yang bermaruah tidak akan sekali-kali menyerah kalah, kita lakukan penuh maruah kerana sememangnya punya maruah”
SIRI KEDUA: SERANGAN GERILA KOMUNIS DI NEGERI SEMBILAN



4.0       Serangan di Jalan Bukit Jalor, Air Kuning Selatan, Gemas, N.Sembilan

            Di dalam kejadian yang lain berkaitan serang hendap gerila Komunis juga berlaku di Negeri Sembilan iaitu di kawasan  Air Kuning Selatan, Gemas  pada 12 Ogos 1952 . Dalam pertempuran tersebut direkodkan (8) anggota keselamatan terdiri (1) PI Arthur Abishegam (2) L/Kpl 372 Ahmad bin Yakim (3) PC 2664 Alias Bin Tamin (4) Rekrut 24204 Yusof Bin Mohd (5)SC  2164  Mohd. Yasin Bin Mohamad (6) SC 5279 Tan Ah Lee (7) SC 5575 Mohd Jani Bin Pais (8) SC 5108 Manap bin Mohamed   dilaporkan terbunuh.


Menceritakan kejadian tersebut  bagi Dollah bin Uyub 83 tahun kini menetap di Ulu Melaka, Batang Melaka, Melaka  adalah antara saksi masih hidup yang terlibat dalam pertempuran tersebut. Beliau bertugas sebagai Special Constable (SC)  masih ingat hari itu  jam lebih kurang pukul  11.00 pagi. Mereka baru sahaja balik  dari rondaan. Di dalam berek yang dihuni oleh (12) anggota ada yang sedang buka pakaian, ada yang sedang mula hendak memasak dan ada yang baru sahaja hendak membuka kasut. Kenderaan GMC muncul  dari balai Air Kuning dan pemandunya memberitahu dapat hukuman dari (1) Inspektor  India semua siap sedia ada tugas, ada lori kena bakar dekat Bukit Jalor . " Kami  semua kelam kabut pakai uniform  semula, yang masak nasi pun tinggalkan nasi yang di masak. Sampai di Balai Polis Air Kuning Selatan kami di taklimat oleh Inspektor  India tersebut. Kami di beritahu  untuk mengikut beliau  ke Bukit Jalor kerana ada maklumat  lori kena bakar. Atas arahan pegawai kami menurut perintah tanpa banyak soalan. 



  
                Saksi kejadian Dollah bin Uyub 83 Th yang terlibat dalam 
 pertempuran tersebut dan masih mengingati kisah tersebut dengan baik.

Semuanya kelihatan seperti biasa pada hari itu tiada tanda-tanda yang ganjil. Kami semua menaiki  GMC  dari balai hingga sampai kira-kira 4 batu dari Hutan Simpan Bukit Jalor, Air Kuning Selatan semua anggota meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sementara kenderaan dibiarkan di tepi jalan. Lebih kurang 2 batu kami  tiada menemui  apa-apa, mulanya hati berkata-kata mana ada lori kena bakar, kami meneruskan lagi  jauh ke sempadan hutan dan akhirnya  memang terdapat  lori kena bakar dan ketika itu  api masih ada menjilat  kenderaan berkenaan.


5.0       Bertempur dengan Gerila Komunis.

              Melihat keadaan lori yang terbakar, setelah semua anggota sampai, siasatan keliling tempat lori terbakar dijalankan,  Keadaan masa itu masih biasa sahaja, namun tidak lama kemudian terdengar letupan seperti tembakan di hadapan yang agak jauh. Tampa mengsyaki apa-apa dengan menjangkakan letupan itu dari kenderaan yang terbakat, pegawai tersebut mengambil keputusan untuk meninggalkan sahaja kenderaan berkenaan.  Kami kemudiannya berpatah balik setelah tiada menemui apa-apa bukti menarik. Kali ini beliau berada di posisi nombor 4 dari belakang dan dihadapan sekali didahului oleh pegawai India berkenaan. Beliau masih ingat rakan beliau  nama Manap membisikkan kepada beliau  tentang hatinya yang tidak sedap seolah-olah  ada bahaya yang menanti. Kami meneruskan perjalanan  lebih kurang suku batu, rupa-rupanya gerila komunis telah menunggu dan mereka telah menyerang hendap dipercayai menembak dengan senjata bren gun. Jarak yang agak jauh antara (13) anggota yang berjalan dengan posisi beliau yang agak terkebelakang menyebabkan  beliau hanya mendengar akan letupan dan juga jeritan seperti orang tercedera dan tidak lama kemudian keadaan menjadi gawat apabila   rakan  menjerit dengan jelas  mengatakan komunis telah menyerang serta menyuruh kami  cari tempat berlindung. Suasana jadi kelam kabut waktu itu kerana tembakan bertalu-talu dilepaskan arah yang tidak dapat dipastikan.

Beliau dengan pantas cuba melompat naik ke atas bukit  kerana semasa berjalan tadi  berada dalam laluan yang  berbentuk lurah. Salah seorang rakan  SC bangsa cina telah terkena tembakan dan mati serta merta. Tempat beliau berlindung hanyalah belukar kecil dan ternyata tiada tempat pertahanan yang sesuai.  Masih beliau ingat ketika itu  beliau bersama dengan rakan, tiba-tiba dari hadapan muncul (2) orang gerila beruniform komunis, beliau membisik kepada rakan menunjuk isyarat  ada komunis di depan. Rakan beliau terus melepaskan tembakan. Beliau tidak berapa pasti samaada tembakan itu  mengena atau tidak.   Pertempuran yang berlangsung memang  dasyat malah dalam jarak yang agak dekat. Kekuatan Gerila komunis dianggarkan  lebih kurang 100 orang. Mereka juga dipercayai menggunakan senjata jenis ‘brengun' berdasarkan bunyi letupan yang berterusan.  Di pihak  pasukan keselamatan juga dibekalkan dengan  satu ‘Bren Gun” tetapi telah berlaku ‘Stoppagges” menyebabkan senjata gagal berfungsi dan anggota yang membawa peluru ’brengun”  tutut  ditembak dan mati serta merta. Dalam kebingitan serangan itu beliau juga masih ingat tiba-tiba kedengaran suara seperti orang bercakap fasih bahasa melayu melaungkan “Mana yang tidak mahu menyerah, tembak mati”. Dalam keadaan yang genting, beliau sempat  membisikkan pada rakannya nama Jani untuk menyerah, namun rakannya itu  ternyata enggan. Mereka kemudiannya  cuba naik ke atas bukit, beliau kemudiannya sekali lagi mengajak Jani melarikan diri, namun rakannya itu mengatakan ‘ Kalau kau nak lari, larilah, aku akan bertahan, aku polis, beliau kemudiannya ambil keputusan terus naik ke atas bukit dan ternyata Jani tidak ikut sama.

Semasa  cuba mencari perlindungan ,beberapa  tembakan tertuju ke arah beliau tetapi tidak kenn dan sebaik  sampai di sebelah atas bukit beliau matikan diri di kawasan yang agak  terlindung dan keadaan belukar yang agak tebal. Beliau fikir jika bergerak, pastinya ajal, itulah hari terakhir beliau melihat dunia, dalam keadaan bersembunyi itu  beliau nampak dengan jelas (2) gerila komunis sedang meninjau-ninjau, nasib beliau baik kerana kerana kedua-dua komunis itu tidak nampak beliau. Apabila gerila komunis itu mula hilang dari pandangan, beliau kemudian fikirkan cara untuk melepaskan diri sedang pertempuran hebat masih berlangsung  hebat. Beliau kemudiannya ambil keputusan meninggalkan tempat pertempuran dengan niat untuk mendapatkan bantuan. Disebabkan senapang yang berat beliau ambil keputusan meninggalkan senapang dan hanya membawa peluru yang terikat dipinggang  dan terus merangkak mencari cari jalan keluar.

6.0       Selamat tetapi rakan ramai yang terkorban

Setelah agak jauh  dari medan pertempuran  namun tembakan masih kedengaran, beliau bangkit dan melihat arah laluan.  Beliau tidak pasti apakah laluan itu akan membawa beliau ke arah Gunung Ledang atau ke tempat lain. Beliau mengambil keputusan mengikut arah Matahari turun. Jam sekitar pukul 4 petang, beliau akhirnya menemui laluan yang kemudiannya membawa beliau menuju ke arah kenderaan GMC diletakkan. Sebaik sampai beliau melihat seorang rakan juga menghala ke kenderaan GMC. Rakan tersebut memberitahu kepada beliau dengan nada sayu bahawa rakan-rakan mereka banyak gugur dalam pertempuran itu dan ada  juga yang cedera dan di tawan. Rakan beliau kemudiannya memberitahu hendak ke Balai Polis minta bantuan tergesa-gesa menghidupkan kenderaan GMC dan terus meninggalkan tempat kejadian tanpa menyedari beliau belum naik kenderaan tersebut. Dalam kekeliruan dan sambil menarik nafas panjang, melihatkan keadaan yang amat penat beliau ambil keputusan bersandar di batang getah untuk merihatkan diri dan berada dalam posisi bersembunyi hanya berbekalkan peluru tanpa senjata dan berharap rakannya akan pulang segera atau bantuan lain sampai.

Jam lebih kurang pukul 5.00 petang tentera British bersama rakan beliau sampai,  Setelah merasakan keadaan selamat, beliau menuju ke kenderaan tentera British tersebut Pegawai British kemudiannya menyuruh beliau berada dekat kenderaan dan mereka kemudiannya  masuk menuju ke tempat pertempuran berlaku. Masih beliau ingat, tentera british itu kembali kekenderaan  dengan (8) mayat terkorban termasuk Inspektor india dan beberapa rakan beliau yang dalam keadaan cedera parah.  Beliau sempat melihat mayat rakan-rakan yang terkorban. Ada yang putus anggota tangan, kaki dan ada yang cedera teruk di muka. Rakan yang cedera sempat memberitahu antara yang mula - mula terbunuh ialah pegawai India tersebut kerana dikatakan pegawai itu menyebut dia Inspektor kepada gerila komunis lalu ditembak mati. Beliau juga melihat rakan beliau  yang enggan melarikan diri nama  Mat Jani terkorban dalam pertempuran itu dengan keadaan tubuhnya yang amat menyedihkan.

Mereka  kemudiannya di bawa ke Balai Air Kuning Selatan. Beliau masih ingat (5) anggota yang masih hidup adalah beliau sendiri, Kpl Hussin, Sufian,  Leman dan Rasul. (3) daripadanya cereda parah. Sebaik sampai di Balai Polis Air Kuning Selatan, telah ramai yang menunggu. Beliau melihat salah seorang isteri kepada mangsa yang terkorban meratapi suaminya sambil mendukung anaknya yang masih kecil.  Turut yang terkorban ada yang baru berkahwin dan ada yang masih bujang. Suasana pilu dan hiba  menyelubungi keadaan. apabila melihat mereka yang terkorban walaupun dalam keadaan masih berlumuran darah.  Beliau dan rakan-rakan yang masih hidup kemudiannya di hantar ke Hospital Tampin untuk rawatan. Hari itu berita serangan terhadap pasokan keselamatan  di Air Kuning Selatan antara yang hangat diperkatakan.

7.0       Saksi Home Guard di Balai Polis Air Kuning

          Bagi  En. Jantan bin Harun  72 tahun yang menetap di Kg. Paya Lebar Air Kuning Selatan, Gemas Negeri Sembilan masih ingat waktu itu beliau bertugas sebagai Home Guard di Balai Polis Air Kuning Selatan. Kisah tersebut diketahui ramai waktu itu. Dalam kejadian tersebut sebenarnya lapan (8) Polis terbunuh dan ada beberapa yang  cedera parah. Anggota keselamatan yang terbunuh itu sebenarnya dalam perjalanan balik dari menyiasat satu laporan kejadian sebuah motolori kepunyaan orang kampong Air Kuning nama Amat Tinggi yang dilaporkan telah di bakar komunis. Dalam perjalanan pulang dari tempat kejadian, pasukan keselamatan yang menaiki kenderaan GMC diserang hendap gerila komunis dipercayai dari Rajimen ke 3 Parti Komunis Malaya yang berkekuatan hampir 100 orang menyebabkan lapan (8) anggota terbunuh di tempat kejadian. Peristiwa itu  berlaku di  Bukit Jalor yang kini merupakan kawasan ladang kelapa sawit dan menjadi penempatan Peneroka Felda Bukit Jalor. Dahulunya adalah kawasan Hutan Simpan Bukit Jalor dan  ketika itu kawasan tersebut  memang diketahui terdapatnya banyak aktiviti gerila komunis. Kesemua jenazah itu kemudiannya di bawa terus ke Hospital Besar Tampin oleh pihak tentera yang mengambil alih mengawal kawasan tersebut. Menurut beliau lagi kawasan Air Kuning waktu itu terkenal dengan nama-nama besar gerila komunis seperti Ah Wah dan Ah Lling. Ah Wah dikatakan kemudiannya menyerah diri kepada kerajaan sementara Ah Ling berjaya ditembak mati di Sungai Sibol Estet. Waktu itu juga   terdapat juga gerila komunis berbangsa Melayu yang terkenal antaranya nama  Sarip dan Mahad Sibun. Beliau tidak pasti sama ada gerila ini terbunuh atau menyerah diri sebaik sahaja darurat tamat.



8.0       Lihat rakan terkorban depan mata.

Suasana perang yang mencengkam ketika itu  juga mencatatkan beberapa insiden serang hendap yang lain. Walaupun tidak melibatkan jumlah korban yang ramai, namun kejadian tersebut tetap dalam ingatan mereka yang pernah berkhidmat pada waktu itu dan pada hari ini mereka masih mengingatinya sebagai kisah yang tidak dapat mereka lupakan. Bagi WSC Mooi Chew Leng @ Aminah Bt Abdullah  71 Tahun  dari  Tampin, Negeri Sembilan menceritakan pengalaman beliau semasa kenderaan yang beliau  naiki  diserang hendap gerila komunis di Pondok Batang, Jasin Melaka. Ketika itu  menjalankan  tugas  bantuan eskot senjata ke Asahan, Melaka. Kejadian tersebut telah mengorbankan rakan beliau dari pasukan Axulary Police (AP)  no 61  nama Tai Jon. "Dia mati depan saya, kami duduk berhadapan, nasib saya baik peluru itu tidak kena saya kalau tidak hari ini saya pun tak ada lagi. Beliau ketika itu menyertai Pasukan keselamatan kerana beliau tinggal dikalangan masyarakat melayu, dan diakhir perkhidmatan waktu itu beliau berkahwin dengan pegawai Polis berpangkat Inspektor yang bertugas di salah sebuah balai dalam kawasan pentadbiran IPD Tampin. 


9.0       Terbunuh ketika sedang mandi

Bagi Mahmud bin Abu  87 tahun yang kini menetap di Felda Pasir Besar, Gemas,  Negeri Sembilan menceritakan zaman darurat sememangnya banyak dengan kisah anggota polis yang terkorban dalam penentangan terhadap gerila komunis. Zaman itu  beliau masih ingat  pertubuhan Angkatan Pemuda Insaf(API)  itu  juga dipanggil dengan nama Angkatan Pembunuh Inggris, Mereka menyerang pasukan keselamatan bukan sahaja sewaktu dalam operasi. Di Sungai Kelamah Estet, Gemas Negeri Sembilan, misalnya (3) anggota SC yang sedang mandi  telah terbunuh dalam satu serang hendap. Catatan kejadian kemudiannya dikenalpasti peristiwa tersebut berlaku pada 03/11/1950 dimana (3) Special Konstabel (SC)  (1)  SC/CPL 5240 Biland Khan,(2) SC  24399 Nataha bin Yassin (3) SC  16080 Sabtu Bin Adam terkorban dalam kejadian tersebut. 

Perjuangan menentang keganasan  dalam memastikan keamanan dan ketenteraman Negara di zaman yang mencabar itu menuntut keberanian dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas. Perang terhadap gerila komunis di Negeri Sembilan dalam tempoh darurat  di antara tahun 1948-1960 juga mencatatkan ramai anggota polis yang terkorban. Kisah yang dirakamkan ini adalah antara kisah-kisah yang jarang diketahui ramai. Wira-wira yang terlibat pula kini telah meniti usia emas. Jasa dan pengorbanan mereka sebenarnya tidaklah mereka inginkan pujian yang mengunung. Namun sekadar mengingati dan untuk disampaikan kisah perjuangan waktu itu khususnya kepada generasi muda, itulah hasrat yang  mereka inginkan sebelum mereka pergi. 


Bagi penulis mereka memang terbilang walau  tidak pernah di julang dan sesungguhnya kisah dan peristiwa mereka itu akan diingati khususnya kepada generasi muda hari ini biarpun mereka tiada lagi. Mengimbas kembali cerita Dollah bin  Uyub tentang sahabatnya nama Mat jani yang terkorban, berjuang tampa takut, keberanian yang tinggi meskipun jumlah musuh lebih besar, semangat biar putih tulang jangan putih mata, bersedia mengalas tanggungjawab yang diamanahkan biarpun nyawa dipertaruhkan mereka sememangnya wira-wira negara yang amat hebat. Semoga kisah ini akan menjadi iktibar kepada generasi muda hari ini, menjadi tauladan dan ingatan bahawa perjuangan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negara sememangnya menuntut semangat yang tinggi dan dikalangan mereka ada wira yang sedia mengkorbankan diri demi keamanan negara tercinta. Segala catatan dan keterangan termasuk rakaman temubual yang dibuat adalah menyingkap kembali sejarah perjuangan rakan-rakan sepasukan yang terdahulu, itulah janji penulis kepada wira-wira yang meniti usia emas ini bahawa cerita mereka tidak akan padan sampai bila-bila, biarpun meraka tiada lagi.