Wednesday 17 April 2013

TRAGEDI SERANGAN BALAI POLIS SEDELI, KOTA TINGGI



 
1.0         Pengenalan


Serangan Gerila Komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Febuari 1950 telah memberikan satu publisiti yang meluas dan dikenang hingga ke hari ini sebagai satu sejarah kepahlawanan anggota polis dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan Negara. Terkorbannya (14) Anggota Polis (3) Polis Bantuan (AP) (4) Pengawal Kampung (HG) dan (4)  ahli keluarga anggota (2) Isteri dan (2) anak telah diadipatasikan dalam kisah dan semangat anggota keselamatan dalam mempertahankan balai polis daripada ditawan  sehingga terkorban. Sembang cyber antara penulis dengan penyokong revolusi yang menggunakan nama samaraan Mat Amin mendedahkan serangan diketuai oleh Komander Goh Peng Sun dari Rajimen ke 4 dengan kekuatan 180 anggota gerila[1] terjadi selepas (7)  bulan (6) hari kerajaan mengisytharkan darurat. Cerita dari mulut ke mulut ini juga mengisahkan serangan ini di bantu oleh Mat Indera atau Ahmad bin Indera yang merupakan pemimpin peringkat negeri Johor Pertubuhan  Barisan Tani Malaya (BTM) yang kemudiannya diharamkan dan seterusnya dikatakan menganggotai Rajimen ke10 Parti Komunis Malaya[2].   Serangan itu juga adalah merupakan antara beberapa siri serangan terhadap balai-balai polis ketika itu antaranya pada 17/3/1948 mereka menyerang Balai Polis Ulu Coh, Pontian, Johor. Pada   28 Jun 1948 mereka menyerang  Balai Polis Kuala Kurau dengan kekuatan (40) anggota gerila dan pada tarikh yang sama juga  mereka menyerang dan membakar Balai Polis Pekan Jerantut.Pada 9 Julai 1948 mereka menyerang Balai Polis Langkap, Selatan Perak menyebabkan seorang Polis Constable (PC) terkorban[3]. Pada 17 Julai 1948 dengan kekuatan  300 orang gerila mereka menyerang dan menawan Balai Polus Gua Musang, Kelantan. (1) anggota terkorban sementara (14) menyerah diri.

 Disebalik serangan terhadap balai-balai polis ini, sebenarnya banyak lagi balai polis yang di serang, namun kisah dan ceritanya hanya berkisar di kalangan mereka yang terlibat dan rakan-rakan seangkatan yang kini generasi itu ramai yang telah kembali kerahmatullah. Ketiadaan kajian yang terperinci mengenai kisah dan tragedi  rumah pasong yang diserang pada masa pemberontakan komunis menyebabkan generasi hari ini khususnya di kalangan warga kerja PDRM tidak banyak info yang diketahui. Zaman yang penuh dengan kisah-kisah bagaimana anggota polis berjuang bermati-matian mempertahankan balai yang mereka jaga, tahun-tahun yang penuh dengan tragedi dan pengorbanan pasukan keselamatan itu kini semakin dilupai, walaupun disebalik kisah-kisah tersebut sebenarnya terlalu banyak isu dan … yang boleh dijadikan tauladan dan pengajaran. tersirat   

Peristiwa Bukit Kepong menjadi sejarah Negara. Kisah serangan Gerila Komunis  itu disensasikan dalam pelbagai bentuk dan penceritaan. Malah tidak keterlaluan jika dinyatakan itulah satu-satunya kisah sejarah silam tentang tragedi, pengorbanan, kesungguhan serta  rasa kebertanggungjawaban terhadap tugas yang dilaksanakan. Ia juga memperlihatkan tentang bagaimana sekumpulan kecil anggota menentang jumlah musuh yang lebih besar yang diakhiri dengan sebilangan besarnya terkorban. Ia juga berkisar tentang kekejaman dan tindak tanduk tidak berperi kemanusiaan sekumpulan orang terhadap kumpulan yang lain. Dari anak-anak kecil hingga ke orang dewasa, kisah itu cukup mudah di hafal. Bagaimanapun bagi generasi yang meniti usia emas khususnya di kalangan bekas-bekas anggota keselamatan yang pernah terlibat di zaman kekuasaan bintang tiga itu ternyata banyak yang mempunyai versi cerita yang berlainan. 

Mereka tidaklah menyanggah atau menidakkan peristiwa itu, mereka juga tidak memperkecilkan kisah dan pengorbanan anggota-anggota polis yang setia terhadap tugas dan komitmen yang diberikan sehingga sanggup berkorban jiwa. Mereka sebenarnya mahu menyedarkan masyarakat keseluruhan bahawa kisah itu adalah antara ratusan malah ribuan kisah-kisah tentang kesetiaan, tentang pengorbanan dan dikorbankan anggota keselamatan di zaman yang penuh dengan cabaran. Namun suara kecil itu sebenarnya tidak cukup untuk didendangkan bagi khalayak ramai. Ia hanya dilagukan kepada ahli keluarga terdekat jika diluar cuma pada handai dan taulan yang bersama-sama berjuang dahulu. Hari ini ia semakin terus dilupai malah tidak mustahil kisah itu akan tengelam di zaman post moden*[4] sehingga ia tidak ubah kisah dongeng yang diada-adakan kerana fakta dan bukti menjadi asas kepada sesuatu kenyataan. Dari aspek yang lain pula kumpulan-kumpulan tertentu menjadikan ia sebagai wancana politik bagi agenda tertentu yang dilihat lebih kepada berkepentingan untuk mengejar sesuatu matlamat dan tidak berdasarkan kepada tanggungjawab social dalam khususnya untuk kepentingan ilmiah dan kefahaman genarasi masa kini.

                                                                 

 
2.0       Serbuan Bintang Tiga ke atas Balai Polis Sedeli Besar, Tanjung Sedeli. 

Kekejaman yang dilakukan terhadap anggota yang bertugas dibalai begitu mengerikan dan amat kejam antaranya seperti yang diceritakan oleh Pak Othman bin Embong 74 tahun yang kini menetap di Rumah Kos Rendah, Sungai Puteri, Kuala Rompin, Pahang. Beliau yang pernah bertugas sebagai Special Constabel (SC) di zaman darurat menceritakan beliau tidak pernah lupa sekali-kali akan tragedi yang menimpa terhadap (8) anggota Polis yang bertugas di Balai Polis Sedeli Besar. Kota Tinggi, Johor.  Meskipun tidak dapat mengingati tarikhnya dengan tepat namun beliau masih ingat ketika itu usia beliau hampir 13 tahun. Pihak  Jepun telah ditewaskan oleh Tentera Berikat.  Pasukan Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA)  yang ketika itu mula  dikenali dengan Bintang Tiga menguasai kawasan yang terpencil ini dan telah menunjukkan kekuatan sebenarnya mereka. . Keadaan keselamatan yang masih samar-samar dengan  sistem pentadbiran yang belum pulih sepenuhnya menjadikan Bintang Tiga mengisytharkan kepada masyarakat setempat merekalah yang menjadi pemerintah ketika itu.

Sebenarnya Kuala Sedeli ketika itu tidaklah menerima impak yang besar akan kalahnya Jepun di Tanah Melayu,  namun kewujudan Pasukan Bintang Tiga (MPAJA)  memang telah diketahui apatah lagi kawasan sekitar khususnya Mukim Kambau dan Sedeli ramai terdapat penduduk bangsa cina yang menjadikan perladangan getah dan perhiagaan sebagai kegiatan harian mereka sementara Masyarakat Melayu  menjadikan Nelayan sebagai sumber pendapatan mereka. Kedatangan Bulan Ramadan Al Mubarak disambut secara kewajipan biasa memandangkan  zaman itu  sumber ekonominya agak terhad ditambah dengan kecelaruan perang yang baru sahaja tamat.

 Bagi Pak Othman beliau ingat di pagi subuh yang hening terdengar bunyi seolah ada orang sedang berjalan dengan membunyikan isyarat - isyarat yang tidak difahami tetapi ia bukan suara binatang. Dari celah-celah papan dinding  rumah  beliau bangkit melihat apa yang berlaku. ‘Saya melihat dengan jelas susuk tubuh pasukan beruniform gelap bintang tiga sambil mengayakan topi di depan mempunyai bintang tiga ‘ menghampiri balai yang hanya tidak sampai 10 kaki dari rumah  beliau berada. Tidak sedetik pun bunyi yang didengari kerana ketakutan namun ternyata susuk-susuk tubuh tersebut mula mengelilingi balai polis yang ternyata tidak ada sentri atau pengawal itu atau mungkin pengawalnya tertidur. Bagaikan sepasukan polis membuat serbuan jeritan buka dan tendang  pintu kedengaran dengan bahasa yang agak pelat kecinaan. “Saya nampak ada seorang terjun dari tepi balai  yang tentunya polis langsung masuk dalam perigi berhampiran. Kemudian saya nampak susuk tubuh lain menerpa ke arah lubang perigi dan letupan senapang  kedengaran dari arah perigi.

3.0       Di ikat pada  pokok Kelapa dan dijatuhi hukuman tembak .

Letupan senapang awal pagi itu telah memecah kesunyian serta menambah ketakutan pada beliau dan keluarga, manalah tau kalau-kalau gerombolan tersebut mengetuk rumah mereka pula. Langit pagi semakin cerah dan tidak lama kemudian kedengaran arahan dalam bahasa melayu pelat kecinaan meminta semua orang Kampong Sedeli Besar berkumpul di satu tempat. “Saya lihat 6,7 anggota balai polis tersebut terikat di batang pokok kelapa berhampiran balai polis. “Saya juga lihat ada dua orang tentera Jepun juga di ikat pada pokok yang berhampiran. “Kemudian dilihat senjata di halakan ke arah tentera jepun berkenaan dan kedua mati terkulai  di tembak di hadapan orang - orang kampong. Keadaan senyap sepi, ketakutan menyelubungi kawasan persekitaran. Dengan usia yang telah mampu memikirkan baik dan buruk beliau juga hanya mampu melihat sahaja sebagaimana orang-orang kampung yang lain. Beliau memegang erat tangan ibunya langsung  berdiri di belakang ibu yang turut membatu melihatkan kejadian tersebut. Seingat beliau ramai ramai juga orang kampong yang melihat akan hukuman tersebut termasuk orang-orang cina, melayu tidak ramai, namun orang kampong yang rata-rata menjadi nelayan sebenar-benarnya pagi-pagi telah keluar menangkap ikan, oleh itu yang tinggal hanyah kaum Ibu, anak-anak serta beberapa orang tua yang tidak turun ke laut sementara sesetengahnya pula telah mengosongkan rumah awal-awal lagi mungkin menjangka kekalahan tentera Jepun akan membawa akibat yang buruk .

Dalam keadaan ketakutan tersebut beliau melihat juga ke arah anggota-anggota polis yang masih terikat di pokok kelapa tersebut, wajah orang-orang polis yang kelihatan  tidak berdaya, apakah mereka juga akan menerima nasib yang sama dengan tentera Jepun itu, Tidak lama kemudian lebih ramai anggota Bintang Tiga mengambil tempat, bugle ditiupkan  dan senapang dihalakan kearah anggota-anggota polis terikat di batang polok kelapa. Letusan sekali lagi kali ini agak membingitkan dan anggota-anggota polis tersebut terkulai mati dalam keadaan masih terikat pada pokok kelapa. Keadaan senyap sunyi tadinya  menjadi hingar bingar dengan jeritan anak-anak kecil yang terkejut.” Saya sendiri tidak dapat bayangkan ketika itu bila lihat polis-polis itu mati ditembak, saya memegang erat tangan ibu saya yang saya lihat turut tunduk ketakutan. Kemudian keadaan menjadi senyap dan sunyi semula. Kemudian seseorang yang dilihat sebagai ketua mengarahkan orang ramai berkumpul dan tidak lama kemudian mereka mula mengagihkan kepingan biskut.  Ia kemudian disusuli dengan ucapan dari orang yang dilihat sebagai ketua tetapi ketua itu berucap  dalam bahasa cina yang tidak beliau fahami maknanya. Pihak Komunis kemudiannya pergi dari tempat tersebut, tiada seorang pun dari orang kampong yang mampu menghalang akan kekejaman yang dilakukan. Apa yang mereka mampu sebaik sahaja pihak Bintang Tiga beredar meninggalkan tempat tersebut mereka meleraikan ikatan terhadap tubuh-tubuh yang tidak bernyawa itu dan melaksanakan tanggungjawab sebagai muslim  iaitu mengebumikan jenazah anggota polis berasal dari kampong tersebut sementara anggota polis yang lainnya di bawa ke kampong halaman mereka sebaik sahaja bantuan dari Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Tinggi sampai.

            Bagi mencari kebenaran tragedi  ini, penulis telah berada selama beberapa hari di Kuala Sedeli untuk mencungkil kisah yang sangat menarik ini. Kampung Sedeli Besar kini di bawah pentadbiran Balai Polis tanjung sedeli, terdapat  pondok polis tetapi dibuka bila ada petugas dari Balai Polis Tanjung Sedeli. Kawasan yang menganjur ke Laut Cina Selatan itu sememangnya amat cantik,  masih dengan keasliannya serta tidak tercemar dengan dari sebarang pembangunan. Kedapatan sebuah Tokong Besar Cina di Hujung kampong yang membuktikan sememangnya suatu ketika dahulu masyarakat cina juga banyak menetap di kawasan ini. Ia terpisah dari Sedeli Kecil (tanjung Sedeli)  oleh muara sungai Sedeli namun kini telah didihubungi oleh Jambatan yang baru siap dibina merentasi Sungai Sedeli membolehkan pengguna meneruskan perjalanan hingga ke Tenggaroh seterusnya ke Mersing.

              Pada mulanya  memang agak sukar untuk mencari fakta yang mampu menyokong cerita tersebut, malahan  anggota polis di Balai Polis Tanjung Sedeli  juga tidak tahu menahu akan cerita tersebut, apatah lagi apabila diberitahu dahulu tentang ujudnya sebuah Balai Polis di tempat tersebut. Apa yang mereka tahu kawasan jagaan mereka Balai yang ada itulah  Balai Polis Tanjung Sedeli (Sedeli Kecil) yang dipimpin oleh seorang Ketua Polis Balai berpangkat Sarjan Mejar. Cubaan penulis untuk menemui KPB  dalam lawatan tersebut gagal, mungkin agak sibuk, namun dengan masa yang telah dirancang rapi dengan bantuan seorang anggota polis yang telah lama yang tinggal di kampong Tuan Seah, Sedeli, penulis di cadangkan berjumpa dengan seorang bekas Special Constabel (SC) yang menetap di Pekan Tanjung Sedeli. Bersambung bahagian 2. Kisah benar temubual sila layari You Tube Menyingkap Sejarah Silam


[1] Rajimen ke 10 Parti Komunis Malaya(PKM)
[2] Matamin02.blogspot.com
[3] Arkib Negara Malaysia
[4] Zaman moden hari ini- Konsep Integriti - Roslan Jalani.

4 comments:

  1. encik knape blog ni.Hilangkan begitu lama dah masuk 3 tahun tiada cerita. bila nak tulis cite lain pulak

    ReplyDelete
  2. Mcm jer nak tulis citer lain,pasal Dh ada citer,pegi balik citer yg sama,sejarah ditulis oleh mereka yg menang..

    ReplyDelete
  3. Nak baca real story buka blog kaum murba,atau kini dan silam,atau pun blog pacarmerah..

    ReplyDelete
  4. ada x sapa2 yg pernah dengar nama Abd Manan? Dia berpangkat Sarjan. kalu x silap kali terakhir dia bertugas di Balai polis mersing.Dia adalah Atuk saya. Saya pernah cuba mencari nama dia di muzium polis kuala Lumpur. Saya tengok No badan dia dh nama org lain dh.mengikut cerita nenek saya Atuk hantar nenek dan anak2 ke tampin. Dan dia balik ke mersing semula dan sampai skrang x tau berita mati kt mana. Gambar dia dgn uniform semua ada di kampung Tampin lg.

    ReplyDelete