Friday 3 May 2013

SIRI KEDUA: SERANGAN GERILA KOMUNIS DI NEGERI SEMBILAN



4.0       Serangan di Jalan Bukit Jalor, Air Kuning Selatan, Gemas, N.Sembilan

            Di dalam kejadian yang lain berkaitan serang hendap gerila Komunis juga berlaku di Negeri Sembilan iaitu di kawasan  Air Kuning Selatan, Gemas  pada 12 Ogos 1952 . Dalam pertempuran tersebut direkodkan (8) anggota keselamatan terdiri (1) PI Arthur Abishegam (2) L/Kpl 372 Ahmad bin Yakim (3) PC 2664 Alias Bin Tamin (4) Rekrut 24204 Yusof Bin Mohd (5)SC  2164  Mohd. Yasin Bin Mohamad (6) SC 5279 Tan Ah Lee (7) SC 5575 Mohd Jani Bin Pais (8) SC 5108 Manap bin Mohamed   dilaporkan terbunuh.


Menceritakan kejadian tersebut  bagi Dollah bin Uyub 83 tahun kini menetap di Ulu Melaka, Batang Melaka, Melaka  adalah antara saksi masih hidup yang terlibat dalam pertempuran tersebut. Beliau bertugas sebagai Special Constable (SC)  masih ingat hari itu  jam lebih kurang pukul  11.00 pagi. Mereka baru sahaja balik  dari rondaan. Di dalam berek yang dihuni oleh (12) anggota ada yang sedang buka pakaian, ada yang sedang mula hendak memasak dan ada yang baru sahaja hendak membuka kasut. Kenderaan GMC muncul  dari balai Air Kuning dan pemandunya memberitahu dapat hukuman dari (1) Inspektor  India semua siap sedia ada tugas, ada lori kena bakar dekat Bukit Jalor . " Kami  semua kelam kabut pakai uniform  semula, yang masak nasi pun tinggalkan nasi yang di masak. Sampai di Balai Polis Air Kuning Selatan kami di taklimat oleh Inspektor  India tersebut. Kami di beritahu  untuk mengikut beliau  ke Bukit Jalor kerana ada maklumat  lori kena bakar. Atas arahan pegawai kami menurut perintah tanpa banyak soalan. 



  
                Saksi kejadian Dollah bin Uyub 83 Th yang terlibat dalam 
 pertempuran tersebut dan masih mengingati kisah tersebut dengan baik.

Semuanya kelihatan seperti biasa pada hari itu tiada tanda-tanda yang ganjil. Kami semua menaiki  GMC  dari balai hingga sampai kira-kira 4 batu dari Hutan Simpan Bukit Jalor, Air Kuning Selatan semua anggota meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sementara kenderaan dibiarkan di tepi jalan. Lebih kurang 2 batu kami  tiada menemui  apa-apa, mulanya hati berkata-kata mana ada lori kena bakar, kami meneruskan lagi  jauh ke sempadan hutan dan akhirnya  memang terdapat  lori kena bakar dan ketika itu  api masih ada menjilat  kenderaan berkenaan.


5.0       Bertempur dengan Gerila Komunis.

              Melihat keadaan lori yang terbakar, setelah semua anggota sampai, siasatan keliling tempat lori terbakar dijalankan,  Keadaan masa itu masih biasa sahaja, namun tidak lama kemudian terdengar letupan seperti tembakan di hadapan yang agak jauh. Tampa mengsyaki apa-apa dengan menjangkakan letupan itu dari kenderaan yang terbakat, pegawai tersebut mengambil keputusan untuk meninggalkan sahaja kenderaan berkenaan.  Kami kemudiannya berpatah balik setelah tiada menemui apa-apa bukti menarik. Kali ini beliau berada di posisi nombor 4 dari belakang dan dihadapan sekali didahului oleh pegawai India berkenaan. Beliau masih ingat rakan beliau  nama Manap membisikkan kepada beliau  tentang hatinya yang tidak sedap seolah-olah  ada bahaya yang menanti. Kami meneruskan perjalanan  lebih kurang suku batu, rupa-rupanya gerila komunis telah menunggu dan mereka telah menyerang hendap dipercayai menembak dengan senjata bren gun. Jarak yang agak jauh antara (13) anggota yang berjalan dengan posisi beliau yang agak terkebelakang menyebabkan  beliau hanya mendengar akan letupan dan juga jeritan seperti orang tercedera dan tidak lama kemudian keadaan menjadi gawat apabila   rakan  menjerit dengan jelas  mengatakan komunis telah menyerang serta menyuruh kami  cari tempat berlindung. Suasana jadi kelam kabut waktu itu kerana tembakan bertalu-talu dilepaskan arah yang tidak dapat dipastikan.

Beliau dengan pantas cuba melompat naik ke atas bukit  kerana semasa berjalan tadi  berada dalam laluan yang  berbentuk lurah. Salah seorang rakan  SC bangsa cina telah terkena tembakan dan mati serta merta. Tempat beliau berlindung hanyalah belukar kecil dan ternyata tiada tempat pertahanan yang sesuai.  Masih beliau ingat ketika itu  beliau bersama dengan rakan, tiba-tiba dari hadapan muncul (2) orang gerila beruniform komunis, beliau membisik kepada rakan menunjuk isyarat  ada komunis di depan. Rakan beliau terus melepaskan tembakan. Beliau tidak berapa pasti samaada tembakan itu  mengena atau tidak.   Pertempuran yang berlangsung memang  dasyat malah dalam jarak yang agak dekat. Kekuatan Gerila komunis dianggarkan  lebih kurang 100 orang. Mereka juga dipercayai menggunakan senjata jenis ‘brengun' berdasarkan bunyi letupan yang berterusan.  Di pihak  pasukan keselamatan juga dibekalkan dengan  satu ‘Bren Gun” tetapi telah berlaku ‘Stoppagges” menyebabkan senjata gagal berfungsi dan anggota yang membawa peluru ’brengun”  tutut  ditembak dan mati serta merta. Dalam kebingitan serangan itu beliau juga masih ingat tiba-tiba kedengaran suara seperti orang bercakap fasih bahasa melayu melaungkan “Mana yang tidak mahu menyerah, tembak mati”. Dalam keadaan yang genting, beliau sempat  membisikkan pada rakannya nama Jani untuk menyerah, namun rakannya itu  ternyata enggan. Mereka kemudiannya  cuba naik ke atas bukit, beliau kemudiannya sekali lagi mengajak Jani melarikan diri, namun rakannya itu mengatakan ‘ Kalau kau nak lari, larilah, aku akan bertahan, aku polis, beliau kemudiannya ambil keputusan terus naik ke atas bukit dan ternyata Jani tidak ikut sama.

Semasa  cuba mencari perlindungan ,beberapa  tembakan tertuju ke arah beliau tetapi tidak kenn dan sebaik  sampai di sebelah atas bukit beliau matikan diri di kawasan yang agak  terlindung dan keadaan belukar yang agak tebal. Beliau fikir jika bergerak, pastinya ajal, itulah hari terakhir beliau melihat dunia, dalam keadaan bersembunyi itu  beliau nampak dengan jelas (2) gerila komunis sedang meninjau-ninjau, nasib beliau baik kerana kerana kedua-dua komunis itu tidak nampak beliau. Apabila gerila komunis itu mula hilang dari pandangan, beliau kemudian fikirkan cara untuk melepaskan diri sedang pertempuran hebat masih berlangsung  hebat. Beliau kemudiannya ambil keputusan meninggalkan tempat pertempuran dengan niat untuk mendapatkan bantuan. Disebabkan senapang yang berat beliau ambil keputusan meninggalkan senapang dan hanya membawa peluru yang terikat dipinggang  dan terus merangkak mencari cari jalan keluar.

6.0       Selamat tetapi rakan ramai yang terkorban

Setelah agak jauh  dari medan pertempuran  namun tembakan masih kedengaran, beliau bangkit dan melihat arah laluan.  Beliau tidak pasti apakah laluan itu akan membawa beliau ke arah Gunung Ledang atau ke tempat lain. Beliau mengambil keputusan mengikut arah Matahari turun. Jam sekitar pukul 4 petang, beliau akhirnya menemui laluan yang kemudiannya membawa beliau menuju ke arah kenderaan GMC diletakkan. Sebaik sampai beliau melihat seorang rakan juga menghala ke kenderaan GMC. Rakan tersebut memberitahu kepada beliau dengan nada sayu bahawa rakan-rakan mereka banyak gugur dalam pertempuran itu dan ada  juga yang cedera dan di tawan. Rakan beliau kemudiannya memberitahu hendak ke Balai Polis minta bantuan tergesa-gesa menghidupkan kenderaan GMC dan terus meninggalkan tempat kejadian tanpa menyedari beliau belum naik kenderaan tersebut. Dalam kekeliruan dan sambil menarik nafas panjang, melihatkan keadaan yang amat penat beliau ambil keputusan bersandar di batang getah untuk merihatkan diri dan berada dalam posisi bersembunyi hanya berbekalkan peluru tanpa senjata dan berharap rakannya akan pulang segera atau bantuan lain sampai.

Jam lebih kurang pukul 5.00 petang tentera British bersama rakan beliau sampai,  Setelah merasakan keadaan selamat, beliau menuju ke kenderaan tentera British tersebut Pegawai British kemudiannya menyuruh beliau berada dekat kenderaan dan mereka kemudiannya  masuk menuju ke tempat pertempuran berlaku. Masih beliau ingat, tentera british itu kembali kekenderaan  dengan (8) mayat terkorban termasuk Inspektor india dan beberapa rakan beliau yang dalam keadaan cedera parah.  Beliau sempat melihat mayat rakan-rakan yang terkorban. Ada yang putus anggota tangan, kaki dan ada yang cedera teruk di muka. Rakan yang cedera sempat memberitahu antara yang mula - mula terbunuh ialah pegawai India tersebut kerana dikatakan pegawai itu menyebut dia Inspektor kepada gerila komunis lalu ditembak mati. Beliau juga melihat rakan beliau  yang enggan melarikan diri nama  Mat Jani terkorban dalam pertempuran itu dengan keadaan tubuhnya yang amat menyedihkan.

Mereka  kemudiannya di bawa ke Balai Air Kuning Selatan. Beliau masih ingat (5) anggota yang masih hidup adalah beliau sendiri, Kpl Hussin, Sufian,  Leman dan Rasul. (3) daripadanya cereda parah. Sebaik sampai di Balai Polis Air Kuning Selatan, telah ramai yang menunggu. Beliau melihat salah seorang isteri kepada mangsa yang terkorban meratapi suaminya sambil mendukung anaknya yang masih kecil.  Turut yang terkorban ada yang baru berkahwin dan ada yang masih bujang. Suasana pilu dan hiba  menyelubungi keadaan. apabila melihat mereka yang terkorban walaupun dalam keadaan masih berlumuran darah.  Beliau dan rakan-rakan yang masih hidup kemudiannya di hantar ke Hospital Tampin untuk rawatan. Hari itu berita serangan terhadap pasokan keselamatan  di Air Kuning Selatan antara yang hangat diperkatakan.

7.0       Saksi Home Guard di Balai Polis Air Kuning

          Bagi  En. Jantan bin Harun  72 tahun yang menetap di Kg. Paya Lebar Air Kuning Selatan, Gemas Negeri Sembilan masih ingat waktu itu beliau bertugas sebagai Home Guard di Balai Polis Air Kuning Selatan. Kisah tersebut diketahui ramai waktu itu. Dalam kejadian tersebut sebenarnya lapan (8) Polis terbunuh dan ada beberapa yang  cedera parah. Anggota keselamatan yang terbunuh itu sebenarnya dalam perjalanan balik dari menyiasat satu laporan kejadian sebuah motolori kepunyaan orang kampong Air Kuning nama Amat Tinggi yang dilaporkan telah di bakar komunis. Dalam perjalanan pulang dari tempat kejadian, pasukan keselamatan yang menaiki kenderaan GMC diserang hendap gerila komunis dipercayai dari Rajimen ke 3 Parti Komunis Malaya yang berkekuatan hampir 100 orang menyebabkan lapan (8) anggota terbunuh di tempat kejadian. Peristiwa itu  berlaku di  Bukit Jalor yang kini merupakan kawasan ladang kelapa sawit dan menjadi penempatan Peneroka Felda Bukit Jalor. Dahulunya adalah kawasan Hutan Simpan Bukit Jalor dan  ketika itu kawasan tersebut  memang diketahui terdapatnya banyak aktiviti gerila komunis. Kesemua jenazah itu kemudiannya di bawa terus ke Hospital Besar Tampin oleh pihak tentera yang mengambil alih mengawal kawasan tersebut. Menurut beliau lagi kawasan Air Kuning waktu itu terkenal dengan nama-nama besar gerila komunis seperti Ah Wah dan Ah Lling. Ah Wah dikatakan kemudiannya menyerah diri kepada kerajaan sementara Ah Ling berjaya ditembak mati di Sungai Sibol Estet. Waktu itu juga   terdapat juga gerila komunis berbangsa Melayu yang terkenal antaranya nama  Sarip dan Mahad Sibun. Beliau tidak pasti sama ada gerila ini terbunuh atau menyerah diri sebaik sahaja darurat tamat.



8.0       Lihat rakan terkorban depan mata.

Suasana perang yang mencengkam ketika itu  juga mencatatkan beberapa insiden serang hendap yang lain. Walaupun tidak melibatkan jumlah korban yang ramai, namun kejadian tersebut tetap dalam ingatan mereka yang pernah berkhidmat pada waktu itu dan pada hari ini mereka masih mengingatinya sebagai kisah yang tidak dapat mereka lupakan. Bagi WSC Mooi Chew Leng @ Aminah Bt Abdullah  71 Tahun  dari  Tampin, Negeri Sembilan menceritakan pengalaman beliau semasa kenderaan yang beliau  naiki  diserang hendap gerila komunis di Pondok Batang, Jasin Melaka. Ketika itu  menjalankan  tugas  bantuan eskot senjata ke Asahan, Melaka. Kejadian tersebut telah mengorbankan rakan beliau dari pasukan Axulary Police (AP)  no 61  nama Tai Jon. "Dia mati depan saya, kami duduk berhadapan, nasib saya baik peluru itu tidak kena saya kalau tidak hari ini saya pun tak ada lagi. Beliau ketika itu menyertai Pasukan keselamatan kerana beliau tinggal dikalangan masyarakat melayu, dan diakhir perkhidmatan waktu itu beliau berkahwin dengan pegawai Polis berpangkat Inspektor yang bertugas di salah sebuah balai dalam kawasan pentadbiran IPD Tampin. 


9.0       Terbunuh ketika sedang mandi

Bagi Mahmud bin Abu  87 tahun yang kini menetap di Felda Pasir Besar, Gemas,  Negeri Sembilan menceritakan zaman darurat sememangnya banyak dengan kisah anggota polis yang terkorban dalam penentangan terhadap gerila komunis. Zaman itu  beliau masih ingat  pertubuhan Angkatan Pemuda Insaf(API)  itu  juga dipanggil dengan nama Angkatan Pembunuh Inggris, Mereka menyerang pasukan keselamatan bukan sahaja sewaktu dalam operasi. Di Sungai Kelamah Estet, Gemas Negeri Sembilan, misalnya (3) anggota SC yang sedang mandi  telah terbunuh dalam satu serang hendap. Catatan kejadian kemudiannya dikenalpasti peristiwa tersebut berlaku pada 03/11/1950 dimana (3) Special Konstabel (SC)  (1)  SC/CPL 5240 Biland Khan,(2) SC  24399 Nataha bin Yassin (3) SC  16080 Sabtu Bin Adam terkorban dalam kejadian tersebut. 

Perjuangan menentang keganasan  dalam memastikan keamanan dan ketenteraman Negara di zaman yang mencabar itu menuntut keberanian dan kesungguhan dalam melaksanakan tugas. Perang terhadap gerila komunis di Negeri Sembilan dalam tempoh darurat  di antara tahun 1948-1960 juga mencatatkan ramai anggota polis yang terkorban. Kisah yang dirakamkan ini adalah antara kisah-kisah yang jarang diketahui ramai. Wira-wira yang terlibat pula kini telah meniti usia emas. Jasa dan pengorbanan mereka sebenarnya tidaklah mereka inginkan pujian yang mengunung. Namun sekadar mengingati dan untuk disampaikan kisah perjuangan waktu itu khususnya kepada generasi muda, itulah hasrat yang  mereka inginkan sebelum mereka pergi. 


Bagi penulis mereka memang terbilang walau  tidak pernah di julang dan sesungguhnya kisah dan peristiwa mereka itu akan diingati khususnya kepada generasi muda hari ini biarpun mereka tiada lagi. Mengimbas kembali cerita Dollah bin  Uyub tentang sahabatnya nama Mat jani yang terkorban, berjuang tampa takut, keberanian yang tinggi meskipun jumlah musuh lebih besar, semangat biar putih tulang jangan putih mata, bersedia mengalas tanggungjawab yang diamanahkan biarpun nyawa dipertaruhkan mereka sememangnya wira-wira negara yang amat hebat. Semoga kisah ini akan menjadi iktibar kepada generasi muda hari ini, menjadi tauladan dan ingatan bahawa perjuangan dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negara sememangnya menuntut semangat yang tinggi dan dikalangan mereka ada wira yang sedia mengkorbankan diri demi keamanan negara tercinta. Segala catatan dan keterangan termasuk rakaman temubual yang dibuat adalah menyingkap kembali sejarah perjuangan rakan-rakan sepasukan yang terdahulu, itulah janji penulis kepada wira-wira yang meniti usia emas ini bahawa cerita mereka tidak akan padan sampai bila-bila, biarpun meraka tiada lagi.


2 comments:

  1. Salam..boleh sy dpatkn alamat dan no tel En. Dollah bin Uyub... Terima Kasih

    ReplyDelete
  2. menarik sejarah ini. Ingin ku bukukan..

    ReplyDelete