Monday 13 May 2013

'MEREKA BERADA DI ANTARA KITA'




Kebelakangan ini kebangkitan semula Gerakan yang di pelapori oleh Parti Komunis Malaya (PKM) telah mula diperkatakan. Walaupun tidak secara meluas, namun hakikatnya melalui bahan penulisan, laman-laman blog dan ruang sembang cyber jelas membuktikan golongan berhaluan kiri ini mula mencari dan menagih sokongan  dari mereka yang kurang mengetahui sejarah silam mengapakah pertubuhan ini diharamkan pembentukannya dan apakah sumbangan terbesar mereka dalam memporakperandakan   keamanan dan ketenteraman Negara tercinta ini.  Berimejkan contohnya  Sekolah Revolusi Malaya, mereka tanpa berselindung  telah  membuka lembaran sejarah silam atas dasar untuk memperjelaskan Perjuangan Revolusi 48 sebagai apa yang dikatakan pembongkaran sejarah tersembunyi Revolusi Malaya 1948-1957. Kesinambungan daripada itu pelbagai karya telah diterbitkan  dalam usaha memupuk minat golongan muda hari ini merenung sejenak perjuangan revolusi mereka yang kononnya  perjuangan itu  perlu dihargai dan sesetengah para pejuang mereka   layak dianggap wira di Negara ini.


Di antara karya penulisan mereka ketika ini  mudah ditemui pasaran  antaranya:-
1.   Memori Ibrahim Cik dari Api ke Rejimen ke 10
2.   Gerakan Kiri Melayu Dalam Perjuangan kemerdekaan
3.   Memoir Samsiah Fakeh dari AWAS ke Rejimen ke 10
4.   Memoir Abdullah CD Zaman Pergerakan sehingga 1948
5.   Abu Samah Mohd Kassim Pejuangan Kiri Kemerdekaan Zuriat Dato Bahaman
6.   The Memoir of Rashid Maidin
7.   Rejimen ke 10 dan Kemerdekaan Negara.



Pelbagai  catatan yang dibukukan dengan kisah semangat perjuangan mereka dalam penentangan penjajah. Golongan ini dengan rasa bangganya mengambarkan perjuangan massa itu adalah suatu perjuangan yang amat murni dalam mengerakkan kemerdekaan Negara. Tanpa segan silu mereka mengajak golongan generasi hari ini menghayati bahawa jika tidak kerana perjuangan mereka, Malaysia hari ini belum tentu layak untuk mengisi kemerdekaan dengan jayanya. Tuduhan pihak  kerajaan memutar belit sejarah dan menidakkan sumbangan golongan ini dalam  kemerdekaan Negara menjadi tema utama penulisan terutamanya dalam laman-laman blog mereka.  Lebih menjengkelkan lagi golongan ini telah menonjolkan beberapa perwira mereka misalnya di kalangan orang melayu dikenali sebagai perwira Rejimen ke 10 Parti Komunis Malaya  adalah juga pejuang bangsa dalam menuntut kemerdekaan. Penulisan di  ruangan cyber sebagai contoh oleh wasiat pejuang dengan angkuhnya menyatakan  pengorbanan mereka yang berjuang dan terkorban dalam penentangan pengganas komunis  adalah tentera penjajah yang tidak boleh lari dari kematian kerana membelot atau menjadi tali barut kerajaan. Mereka juga dengan banggakan menjenamakan  beberapa tokoh pejuang aliran kiri yang dikaitkan dengan lulusan agama  perlu  sebagai wira misalnya tokoh yang berjuang  yang memimpin pasukan Melayu di Johor dan Melaka dalam menjalankan gerakan survesif sewaktu darurat. 



Sebagai anak watan yang bersyukur hidup aman  di bumi bertuah ini, perjuangan yang digembar-gemburkan oleh golongan redikal ini tidak lebih menjadi sebagai suatu pengajaran bahawa keterpesongan mereka  dalam memperjuangan hak dan kebebasan sebenarnya tidak patut jadi ikutan pada generasi muda hari ini.  Mereka yang menganggap diri mereka juga wira dalam perjuangan tahun 1948 itu tidak lebih hanya menambahkan kisah sedih yang suram dan penuh dengan tragedi kemanusiaan. Tanpa rasa kesal dan simpati misalnya dalam tulisan wasiat pejuang, mereka begitu bangga menceritakan bahawa Tragedi Bukit Kepong itu adalah fitnah pemerintah terhadap perjuangan mereka biarpun pusara bersemadinya (24) arwah yang terkorban itu adalah  bukti tindakan zalim dan sadis yang mereka lakukan. Mereka sedikit pun tidak kesal dengan gerombolan hampir (200) orang begitu angkuh menyerang habis-habisan cuma terhadap  (14) orang anggota pasokan keselamatan. Tindakan membakar hangus bukan sahaja bangunan malah tubuh anak dan isteri  yang tidak berdosa itu seolah-olah satu kepuasan kononya itulah pengajaran terbaik bagi yang sesiapa yang menentang mereka sebagaimana yang diceritakan dalam Memoir Abdullah C.D., Penaja dan Pemimpin Rejimen Ke-10. terbitan SIRD,2007. Malah pada hari ini mereka juga merasa begitu bangga menceritakan kepada generasi muda bahawa serangan pada tanggal  23 Febuari 1950  yang diketuai oleh Goh Peng Tun dari Rajimen ke 4 PKM Malaya dibantu oleh Rajimen ke10 anak melayu adalah perjuangan menentang penjajah.


 
 Perjuangan yang sememangnya menyimpang dari nilai-nilai kemanusiaan itu kini mula  bertapak kembali di Negara kita kononnya atas dasar kebebasan. Gerakan ini dilihat mula kembali meresap masuk ke dalam persatuan  atau pertubuhan  NGO mahupun yang berlatarbelakangkan politik.  Namun sebenarnya tidak jauh bezanya dari tektik dan teknik  mereka untuk memgembangkan konsep dan ideologi mereka malah  dan apa yang ditakuti jika gerakan sebegini berjaya menguasai minda dan pemikiran mereka yang terlalu taksubkan perubahan dan akhirnya kita juga akan menempa sejarah silam yang suram. Apakah kita bersedia menerima hakikat itu sedangkan untuk menempa kejayaan dan kemajuan yang kita perolehi pada hari ini kita mengambil masa lebih 50 tahun namun untuk meruntuhkan hanya memerlukan masa yang singkat..  



Mengimbau kembali  zaman kebangkitan perjuangan massa ini, hanya mereka yang terlupa sejarah sahaja akan mengakui perjuangan itu kononnya mempunyai-nilai nilai murni dalam menuntut kebebasan. Saya bukan sengaja mengadakan hujah atau pendapat namun mengungkit perkembangan sejarah dalam pembentukan Negara tercinta ini, gerakan yang menganggap  mereka adalah pejuang sebenarnya tidak teragak-agak sehingga sanggup membunuh anak bangsa  sendiri yang mereka gelar sebagai pembelot atau tentera penjajah.  Apakah dengan memusnahkan infrastruktur yang asas kepada pembangunan  seperti mensabotaj lebuhraya Timur barat atau dengan sengaja membakar  kilang atau melakukan gerak gempur menggugat ekonomi Negara yang ketika itu merupakan perjuangan yang adil  dalam menegakkan sebuah bangsa? Apakah gerakan yang menyusup masuk di dalam  kesatuan sekerja  dengan melancarkan mogok itu jalan terbaik memaksa pemerintah supaya  tunduk dengan tuntutan mereka, sedangkan dalam masa yang sama budaya dan tatasusila masyarakat di negara ini khususnya orang-orang melayu bukan bersifat sedemikian rupa



Sememangnya kita takkan lupa  catatan sejarah silam yang terlalu banyak memaparkan kisah dan perjuangan yang  amat perit untuk diingati. Bukanlah niat di hati  untuk mengungkit tentang peristiwa silam, tetapi sejarah itu adalah fakta yang perlu diingati agar di masa depan kita tidak berbuat kesilapan yang serupa. Luka yang berdarah itu masih belum sembuh sepenuhnya kerana generasi kedua dan ketiga tidak akan lupa kisah datuk, ayah, abang, adik, bapa saudara  yang telah terbunuh  yang sebahagian besarnya menjadi wira yang tidak didendang  pada hari ini..



Walaupun atas nama perjuangan apapun, kita menerimanya secara rasional, namun demikian jika perinsip itu dicemari dengan sikap ganas dan tidak berperikemanusiaan, ia bukanlah jalan terbaik untuk dijadikan sebagai ikutan. Apakah dendam kesumat itu perlu dilunaskan sedemikan rupa. Jikalau ditembak mati sekalipun perlukan mangsa itu dibakar dan dihina sekejam rupa kerana ini sebenarnya dengan jelas menunjukkan sikap keterlampauan yang penuh dengan kebencian. Tidak adakah sekelumit rasa simpati mahupun kasih di dalam hati-hati mereka dan jika inilah sikap yang tertanam dihati sanubari mereka wajarkah mereka ini diterima sebagai wira Negara.




Jika mereka begitu berbangga dengan sejarah perjuangan 1948-1957 yang kononnya menceritakan pahit maung perjuangan mereka  dalam membebaskan negara ini, saya juga ingin mengajak pembaca mengimbau kembali catatan sejarah silam untuk di kongsi bersama tentang pengorbanan pasokan keselamatan bagi tempoh yang sama dalam usaha mengekalkan keamanan dan ketenteraman Negara. Jika mengambil kira individu sama ada orang awam, pasokan keselamatan, individu yang membantu pasokan keselamatan pastinya jumlahnya mencecah hampir puluhan ribu. Namun di kalangan anggota pasokan keselamatan khususnya Pasokan Polis, tempoh  hampir (10) tahun itu juga telah mencatatkan banyak  kenangan silam yang harus diingati oleh generasi muda untuk dijadikan pengajaran agar keamanan yang kita kecapi pada hari ini mestilah dikekalkan. 



Gerakan Komunis yang tersebar luas di Tanah Melayu pada ketika itu lebih banyak dilihat menggunakan teknik serang hendap.  Di Johor selain peristiwa serangan Balai Polis Bukit Kepong , serang hendap juga dilakukan antaranya pada 15/10/1950 di Chan Weng Estet, Bekok, Labis Johor yang mengorbankan (8) orang anggota polis yang terdiri dari (1) Koperal, (5) Polis Constabel (PC) dan (2) Special Constabel (SC) yang dalam perjalanan mengiringi wang gaji pekerja. Kemudiannya pada 22/12/1950 di Sisik Mines, Kota Tinggi Johor (5) Special Constabel terkorban juga dalam satu serang hendap. Sejarah juga mencacatkan  pada 11/3/1951 di PWD Quarry, Mersing, Johor (8) anggota  terdiri dari (1) Police Constabel (PC) dan (7) Special Constable (SC) telah terkorban juga dalam satu serang hendap. Kemudiannya pada 23/7/1952 di Paloh Estet, Keluang, Johor  (5) anggota Special Constabel (SC) telah terkorban, dan pada 27/12/1952 di Sungai Bekok Estet, Labis, Johor    (6) anggota  Special Constabel (SC) terkorban juga dalam satu serang hendap semuanya dipercayai dilakukan oleh Rejimen ke4, Parti Komunis Malaya



 Di Perak juga ramai yang terkorban dalam serang hendap yang dilakukan. Pasti ada antara rakyat perak yang masih mengingati antaranya pada tanggal 12/12/1950 seramai  (8) anggota keselamatan terdiri daripada  (7) Special Constabel (SC) dan (1) Polis Bantuan (AP) yang  bertugas mengikut pihak ukur tanah telah terkorban dalam satu serang hendap  di kawasan Harbourough Estate, Sungkai.  Selainnya pada 14/10/1950  seramai (5) anggota Special Konstabel (SC)  terkorban dalam satu serang hendap di Loh Pak Long, Air Kuning. Pada 5/1/1951  (5) anggota Special constable (SC) terkorban dalam satu serang hendap di Bikam Estet,Perak, Selain irtu pada 14/11/1951 seramai (9) anggota terdiri  (1) Police Constabel (PC)  (8) Special Constabel (SC) terkorban juga dalam satu serang hendap di Kampar. Seterusnya pada 10/01/1952 seramai (9) anggota terdiri (1) Sarjan, (2) Police Constabel (PC), (1) Extra Police Constable (EPC) dan (5) anggota Special Constabel (SC) terkorban dalam satu serang hendap di batu 31 ½ Jln Degong.  Pada  2/6/1952 seramai (8) anggota terdiri  (1) Police Constabel (PC) dan (7) Special Constabel (SC) terkorban dalam satu serang hendap batu 3 1/3 Keramat Pulai Tin  Mines. Pada 18/08/1952 seramai (8) anggota terdiri daripada  (1) Insp .Hons dan (7) Special Constabel (SC) terkorban di Reverview Estet  dan pada 15/12/1955 seramai (8) anggota Special Constabel (SC) terkorban dalam satu serang hendap di Kawasan Langkap.



Catatan sejarah ini juga tidak ketinggalan berlaku di Negeri Sembilan antaranya rakyat jelebu tentunya ada yang masih mampu mengingati akan  peristiwa yang berlaku pada 12/12/1940 di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan   seramai (15) anggota terdiri (2) Pegawai Eropah (6) Police Constabel (PC) dan (7) recruit terkorban dalam satu serang hendap dipercayai dilakukan oleh Rejimen ke2 PKM, seterusnya  pada 23/11/1950 di   Ladang Gaddes, Bahau,  (5) anggota  terdiri (2) Police Constabel (PC) (1) EPC dan (2) Special Constabel (SC) juga terkorban dalam satu serang hendap dan di  Air Kuning Selatan  Gemas dan pada  12/8/1952 seramai (8) anggota terdiri (1) Inspektor percubaan (PI) (1) Lans Koperal, (1)Police Constabel (PC), (1) Recruit dan (4) Special Constabel (SC) telah terkorban. 

 

Di Melaka juga telah mencatatkan sejarah serang hendap PKM  di mana pada 18/8/1951 seramai (6) anggota terdiri (1) Koperal, (1) Lans Koperal dan (4) Special Constabel (SC) telah terkorban dalam satu serang hendap di kawasan Air keroh.  Di Kajang, Selangor pada 28/6/1951 (6) anggota Special Constabel (SC) telah terkorban juga dalam satu serang hendap dipercayai oleh 1 Rejimen PKM, kemudiannya di Pulau Pinang iaitu di Sungai Bakap pada 22/1/1950 (9) anggota dari pasokan Jungle Squad yang terdiri daripada (1) Sgt. (6) Recruit (1) Extra Police Constabel (EPC) dan (1) Special Constabel telah terkorban.



Di Negeri Kedah, peristiwa terkorbannya anggota keselamatan dalam jumlah yang ramai juga berlaku antaranya kejadian di  Gurun, Kedah  yang mengakibatkan (8) anggota terkorban terdiri daripada (2) Sarjan, (1) Koperal dan (5) F.P.C, kemudiannya pada 19/10/1951 peristiwa yang berlaku di Titi Akar, Pendang,  dimana (4) Police Constabel (PC) telah terkorban. Di Kelantan juga tercatat pada  3-4/4/1952 kejadian yang berlaku di Kuala Kerai, Kelantan  di mana    (1) Insp. dan (5) Police Constabel (PC) telah terkorban seterusnya pada 19/3/1955 (4) anggota Special constable (SC) telah terkorban dalam satu serang hendap juga di kawasan Kuala Kerai, Kelantan.


Jika mengambil kira kegiatan mereka yang berterusan sehingga 1989 sudah tentunya lebih banyak peristiwa yang telah direkodkan. Namun cukuplah jika mereka menyifatkan gerakan 1948-1957 kisah dan catatan ini juga mengambil kira persoalan yang serupa. 


Mereka adalah antara ribuan yang terkorban di samping anggota pasokan keselamatan yang lain serta rakyat biasa.  Mereka adalah antara anak-anak muda yang bersedia berkorban jiwa atas semangat cintakan kedamaian. Namun bagi golongan ini mereka terkorban itu sewajarnya terkorban kerana bersekutu dengan penjajah. Benarkah mereka seorang pembelot. Mereka dikatakan membela penjajah atau siapakah yang sebenarnya  menjadi menjadi pembelot. Sesungguhnya terbukti pada hari ini mereka inilah yang telah membangkitkan semangat nasionalisme dan menjadi platform ke arah Negara yang berdaulat.  Biar putih tulang namun untuk menyerah maruah jadi sandaran. 



Jika pejuang yang kononnya mengelarkan diri mereka misalnya dari rejiman ke10 berbangga tentang perjuangan mereka, atas apakah rasa kebanggaan itu. Apakah mereka menyedari sebahagian besar yang terbunuh itu bangsa mereka sendiri, apakah tidak mereka sedari terlalu banyak hutang darah yang masih belum dibayar  dan sebenarnya luka perjuangan itu masih belum sembuh. 



Catatan ini bukan sengaja untuk mengungkit sejarah perjuangan silam, tetapi  dalam mengingati sesungguhnya keamanan itu adalah penting, kehidupan yang harmoni itu tentunya bergrntung kepada sikap toleransi di antara kita, maka sebarang pencetusan ketidakstabilan harus disekat agar tidak merebak. Sesungguhnya perjuangan itu terlalu pahit untuk dikenang  Bagi mereka yang kononnya mengelarkan diri  mereka pejuang, apakah perjuangan itu menjadi kebanggaan bagi mereka, apakah tuntutan sebenar yang mereka mahukan, Mungkin mereka berharap suatu pengiktirafan diberikan atas jasa-jasa yang mereka taburkan. Dengan ruang yang pihak pemerintah bukakan seperti kemudahan berkarya, keterbukkaan  sembang bicara di dunia cyber, seharusnya kesempatan ini digunakan untuk bersama-sama ke arah mengujudkan kesejahteraan dan keamanan Negara. Jika benar dahagakan sebuah kemajuan, kebebasan dan keadilan timbanglah pemikiran secara yang rasional, usah diresapi pemikiran generasi muda dengan kebencian kerana ia tidak lebih akan membawa kepada sebuah kemusnahan.



Sedarilah bahawa anasir-anasir luar sentiasa  mengintai peluang yang ada agar  imej Negara tercalar. Sebarang ketidaktentuan atau ketidakstabilan politik yang berlaku pastinya akan menjejaskan usaha-usaha ke arah perpaduan dan akhirnya kita pastinya kelewatan dalam membina sebuah Negara bangsa yang berjaya.










 

1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan,Saya sangat menghargai usaha tuan merekodkan sejarah perjuangan anggota polis.Saya salah seorang anak anggota Special constables semasa darurat.Ayah saya bertugas diLangkap,Perak. Catatan Tuan " 15/12/1955 seramai (8) anggota Special Constabel (SC) terkorban dalam satu serang hendap di Kawasan Langkap'',memang ade kaitan dengan ayah saya dan rakan2nya.

    Tuan ,bagaimana cara jika sy ingin mengetahui maklumat kejadian ini lebih detail lagi.Mohon Pencerahan...
    Wassallam

    *ayah saya:Sitan bin Suliman [SC 25300 ]

    ReplyDelete